April 18, 2017

E11 - Bahaya Penyakit Dengki

Teks : Azni Aziz

Perkataan DENGKI sering kali dikaitkan dengan bangsa Melayu. Dialog “argh…, biasa lah orang Melayu, tak habis-habis dengan perasaaan hasad dengki (PHD)” bagai satu dialog turun temurun. Diwariskan dari zaman ke zaman. Persoalannya, bangsa Melayu sahaja kah yang punya perasaan dengki? Bagaimana dengan bangsa lain, mereka tidak pernah ada perasaan dengki kah sampaikan perasaan dengki diberi hak keistimewaan kepada orang Melayu?

Sebetulnya perasaan dengki itu tidak mengenal bangsa, kaum, jantina mahupun agama. Tidak kira sama ada Melayu, Cina, India waima etnik lain juga punya perasaan dengki. Kerana dengki itu merupakan penyakit hati, terbit dari perasaan kebencian dan kemarahan yang timbul akibat cemburu dan iri hati yang sangat besar. Bohonglah kalau ada sesiapa yang cakap tidak pernah terbit perasaan dengki dalam hati sanubari mereka. Kalau betul maknanya orang itu tidak normal kan?

Kadangkala apabila melihat orang lain yang lebih bijak, lebih cantik, lebih bahagia, lebih kaya dan segala-galanya lebih sempurna dari kita, pasti terdetik rasa iri dan cemburu terhadap mereka. Lebih-lebih lagi orang yang dirasakan sempurna dan lebih serba serbi dari kita itu adalah individu yang kita kenali.

Bagi aku tidak salah untuk merasa cemburu dengan kelebihan orang lain, asalkan perasaan itu tidak berlebih atau masih terkawal. Cemburu boleh jadi positif apabila kita menjadikan kejayaan atau kelebihan orang lain sebagai pembakar semangat untuk terus memajukan diri! Semaju dan sehebat yang mungkin, malah lebih baik dari mereka.

Negatifnya cemburu apabila ia boleh merubah kepada perasaan dengki. Penyakit dengki ini sangat bahaya kerana secara senyap ia mengheret kita mendekati dendam kesumat.

Ada apa dengan dengki? Kerana dengki apa saja kebaikan atau usaha murni orang lain disalah erti. Sudahlah kita cemburukan mereka disebarkan pula wabak itu kepada orang sekeliling. Maka terjadilah dengki secara berjemaah.

Perasaan dengki tidak hanya berhenti setakat ini. Jika dibiarkan, boleh pula menguasai akal dengan pelbagai helah. Mulalah timbul penyakit lain iaitu fitnah dan usaha memburuk atau menjatuhkan orang lain. Lebih teruk lagi apabila menjadikan jin dan syaitan sebagai sahabat dan pemangkin matlamat. Bila sudah kena penyakit dengki, mulalah matlamat menghalalkan cara. Biar segalanya musnah asalkan puas beraja di hati.

Sesungguhnya rasa dengki itu berkembang mekar tanpa batasan. Kadang kala hadirnya tanpa alasan. Ingatlah, kerana dengki kita tidak akan ke mana-mana. Kerana dengki bangsa kita menjadi hina dan hancur binasa. Kerana dengki juga Negara kita porak-peranda.

Oleh itu kawan-kawan, hayatilah kelebihan atau kesempurnaan orang lain itu sebagai satu kurniaan Allah untuk kita berfikir lantas mensyukuri nikmatNya. Setiap yang lebih pasti ada sebabnya. Jadi tidak perlulah kita membebankan diri dengan perasaan dengki yang tidak menguntungkan apa-apa.

Seandainya kita kurang bijak, kurang cantik, kurang bahagia dan kurang kaya daripada orang lain, jangan sesekali berperasaan dengki. Jadikan kekurangan kita sebagai pembakar semangat dan kelebihan mereka sebagai cabaran untuk kita menjadi setanding atau lebih baik. InsyaAllah!


4 comments:

Herbalife Coach Fatin Syahirah said...

tak faham kenapa dorang nak dengki2 lepas tu sedaya upaya nak hancurkan orang yang didengki, bukan nak berusaha jadi yang lebih baik.
mintak dijauhkan dari benda2 macam ni.

Unknown said...

bersihkan hati, itu yang penting. Dengki merosakkan umat

bhacosem said...

btul3..sometimes..psl dengki.instead of membangunkan kaum..kte hnye skada memundurkan.T.T

TQ..entry ni bnyk membuat org pk..
n actually decided 2 write xP

http://nabihahzaid.blogspot.com/2010/02/jealousy-or-stupidity.html

Azni Aziz said...

Orang yang dengki tu sebab jiwa dia tak tenteram. Sentiasa bersihkan hati dengan mengingati Allah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails