Teks : Azni Aziz
Assalamualaikum dan salam perkenalan.
Assalamualaikum dan salam perkenalan.
Nama diberi Nor Azni Aziz. Kini
berusia 36 tahun. Merupakan anak tunggal kepada pasangan Encik Aziz Yaacob dan
Puan Rohani Che Mat. Telah enam tahun bergelar suri hati kepada Mr. Engineer, Suhairi Ahmad.
Alhamdulillah kami dikurniakan Allah S.W.T sepasang cahaya mata. Yang sulung Luqmanul
Hakim berusia 4 tahun dan yang kedua Nur Sumayyah 1 tahun 6 bulan. Sewaktu
coretan ini ditulis, saya baru mendapat tahu dalam tempoh sembilan bulan lagi,
ahli keluarga kecil kami akan bertambah.
Saya mendapat pendidikan awal di
Sekolah Kebangsaan Kolam, Melor, Kota Bharu Kelantan. Kemudian berpindah ke Gua
Musang dan menamatkan pengajian menengah saya di Sekolah Kebangsaan Tengku Indra
Petra, Gua Musang. Kemudiannya saya berpeluang menyambung pengajian di
peringkat Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan
Sungai Petani. Seterusnya saya melanjutkan lagi pengajian ke peringkat Ijazah
Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) di UiTM Shah Alam.
Pengalaman kerja saya bermula
sebagai Kerani di GIATMARA Sdn. Bhd. di bahagian perolehan selama dua tahun.
Kemudiannya beralih ke kerja kerajaan sebagai Penolong Pegawai Penerangan
bermula 2007 hingga sekarang. Memegang jawatan sebagai orang Penerangan memberi
peluang kepada saya bertugas dalam bidang media dan komunikasi korporat. Satu
bidang tugas yang sangta mengujakan. Nanti saya kongsikan keseronokan
tugas-tugas saya pada entri akan datang.
Setelah direnung-renung rasanya
minat saya kepada membaca, menulis dan melancong. Paling diminati semestinya
membaca kerana tidak perlu modal. Apa sahaja yang boleh dibaca dan menarik
minat, saya tidak memilih waima surat khabar lama. Seiring faktor usia, kini
minat saya lebih kepada bahan bacaan berbentuk keagamaan, motivasi, politik dan
kadang-kadang novel. Menulis merupakan minat impian saya. Setiap kali saya
membaca buku/majalah/akhbar/novel dan sebagainya, terdetik di hati saya,
seronoknya kalau saya boleh menulis macam ni. Saya juga gemar melancong, tidak
kira di mana-mana destinasi. Dari zaman remaja memang kaki jalan saya ni.
Semasa bujang dulu, duit gaji habis untuk berjalan sahaja. Orang kata jauh
berjalan luas pengalaman kan? Mujur saya berjodoh dengan orang yang mempunyai
minat yang sama. Sejak berkahwin, kami mula menabung dan setiap tahun pasti ada
destinasi pilihan untuk dilawat. Walau dekat asal namanya bercuti atau melancong
sudah cukup mengujakan.
Oh ya, demi minat impian menulis
juga Allah telah gerakkan saya berjumpa di alam maya dengan Puan Masayu Ahmad
dan akhirnya terjebak dengan kelas penulisan asas blog kelolaan beliau. Harapan
saya semoga kelas ini menjadi titik permulaan saya untuk terus menulis dan
menulis hingga dapat menghasilkan sesuatu bahan penerbitan.
Sekian, Wassalam.
No comments:
Post a Comment