Teks : Azni Aziz
Perkataan DENGKI sering
kali dikaitkan dengan bangsa Melayu. Dialog “argh…, biasa lah orang Melayu,
tak habis-habis dengan perasaaan hasad dengki (PHD)” bagai satu dialog turun temurun. Diwariskan
dari zaman ke zaman. Persoalannya, bangsa Melayu sahaja kah yang punya
perasaan dengki? Bagaimana dengan bangsa lain, mereka tidak pernah ada perasaan
dengki kah sampaikan perasaan dengki diberi hak keistimewaan kepada orang
Melayu?
Sebetulnya perasaan dengki
itu tidak mengenal bangsa, kaum, jantina mahupun agama. Tidak kira sama ada
Melayu, Cina, India waima etnik lain juga punya perasaan dengki. Kerana dengki
itu merupakan penyakit hati, terbit dari perasaan kebencian dan kemarahan yang
timbul akibat cemburu dan iri hati yang sangat besar. Bohonglah kalau ada sesiapa
yang cakap tidak pernah terbit perasaan dengki dalam hati sanubari mereka.
Kalau betul maknanya orang itu tidak normal kan?
Kadangkala apabila
melihat orang lain yang lebih bijak, lebih cantik, lebih bahagia, lebih kaya
dan segala-galanya lebih sempurna dari kita, pasti terdetik rasa iri dan
cemburu terhadap mereka. Lebih-lebih lagi orang yang dirasakan sempurna dan
lebih serba serbi dari kita itu adalah individu yang kita kenali.
Bagi aku tidak salah
untuk merasa cemburu dengan kelebihan orang lain, asalkan perasaan itu tidak
berlebih atau masih terkawal. Cemburu boleh jadi positif apabila kita
menjadikan kejayaan atau kelebihan orang lain sebagai pembakar semangat untuk
terus memajukan diri! Semaju dan sehebat yang mungkin, malah lebih baik dari
mereka.
Negatifnya cemburu
apabila ia boleh merubah kepada perasaan dengki. Penyakit dengki ini sangat
bahaya kerana secara senyap ia mengheret kita mendekati dendam kesumat.
Ada apa dengan dengki?
Kerana dengki apa saja kebaikan atau usaha murni orang lain disalah erti. Sudahlah
kita cemburukan mereka disebarkan pula wabak itu kepada orang sekeliling. Maka
terjadilah dengki secara berjemaah.
Perasaan dengki tidak
hanya berhenti setakat ini. Jika dibiarkan, boleh pula menguasai akal dengan
pelbagai helah. Mulalah timbul penyakit lain iaitu fitnah dan usaha memburuk
atau menjatuhkan orang lain. Lebih teruk lagi apabila menjadikan jin dan
syaitan sebagai sahabat dan pemangkin matlamat. Bila sudah kena penyakit
dengki, mulalah matlamat menghalalkan cara. Biar segalanya musnah asalkan puas
beraja di hati.
Sesungguhnya rasa dengki
itu berkembang mekar tanpa batasan. Kadang kala hadirnya tanpa alasan. Ingatlah,
kerana dengki kita tidak akan ke mana-mana. Kerana dengki bangsa kita menjadi
hina dan hancur binasa. Kerana dengki juga Negara kita porak-peranda.
Oleh itu kawan-kawan,
hayatilah kelebihan atau kesempurnaan orang lain itu sebagai satu kurniaan
Allah untuk kita berfikir lantas mensyukuri nikmatNya. Setiap yang lebih pasti
ada sebabnya. Jadi tidak perlulah kita membebankan diri dengan perasaan dengki
yang tidak menguntungkan apa-apa.
Seandainya kita kurang bijak,
kurang cantik, kurang bahagia dan kurang kaya daripada orang lain, jangan
sesekali berperasaan dengki. Jadikan kekurangan kita sebagai pembakar semangat
dan kelebihan mereka sebagai cabaran untuk kita menjadi setanding atau lebih
baik. InsyaAllah!
4 comments:
tak faham kenapa dorang nak dengki2 lepas tu sedaya upaya nak hancurkan orang yang didengki, bukan nak berusaha jadi yang lebih baik.
mintak dijauhkan dari benda2 macam ni.
bersihkan hati, itu yang penting. Dengki merosakkan umat
btul3..sometimes..psl dengki.instead of membangunkan kaum..kte hnye skada memundurkan.T.T
TQ..entry ni bnyk membuat org pk..
n actually decided 2 write xP
http://nabihahzaid.blogspot.com/2010/02/jealousy-or-stupidity.html
Orang yang dengki tu sebab jiwa dia tak tenteram. Sentiasa bersihkan hati dengan mengingati Allah!
Post a Comment