February 21, 2010

Perayaan Regatta Lepa

Lepa-lepa yang dihias cantik untuk pertandingan


Kali ni nak tulis entri yang ilmiah sket, so bahasanya nanti Bahasa Melayu standard lah. Since aku keje dalam bidang yang ada kaitan dengan bidang kebudayaan dan warisan, aku nak kongsi serba sedikit apa yang aku tahu.

Kita bertuah tinggal di Malaysia. Masyarakat Malaysia yang majmuk memberi peluang kepada kita untuk menghayati keunikan dan keindahan seni budaya pelbagai etnik di negara ini. Sabah, salah satu negeri di Malaysia yang terletak di Utara Pulau Borneo bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semulajadi, tetapi ia juga kaya dengan warisan budaya penduduknya.

Suku kaum Bajau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak berabad lamanya. Suku kaum Bajau terbahagi kepada dua, iaitu Bajau Laut dan Bajau Darat. Bagi Bajau Laut, mereka mendiami kawasan pesisir pantai terutama di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Labuan. Manakala Bajau Darat lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat seperti Papar, Tuaran, Kota Belud, Kudat dan Kota Kinabalu.

Masyarakat Bajau Laut di Semporna Sabah terkenal dengan kehebatan mereka sebagai pelaut yang disegani. Bagi mereka, laut bukan sahaja sebagai sumber rezeki tetapi turut memberikan pelbagai inspirasi dan pengaruh tersendiri kepada kehidupan.

Hakikatnya, laut adalah dunia mereka. Buktinya mereka bukan sahaja menetap di tepi laut tetapi juga tinggal 'di atas laut' dengan menjadikan lepa sebagai kediaman rasmi atau sebagai rumah mereka. Mereka hidup di atas lepa dan menjalani sebahagian besar hidup di laut dan hanya naik ke darat untuk mendapatkan bekalan air, kayu api dan upacara pengebumian. Bajau Laut memang sinonim dengan lepa.

Biasanya sebuah lepa didiami oleh sebuah keluarga yang dianggotai lima hingga enam orang. Setiap lepa yang didiami sesebuah keluarga Bajau menampilkan seni ukiran dan saiz yang berbeza di mana ia menggambarkan status keluarga tersebut. Lepa dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud perahu atau bot. Biasanya Lepa diperbuat daripada kayu jenis Ubar Suluk ataupun Seraya Merah. Lazimnya, lepa berukuran lapan meter panjang dan dua meter lebar serta menampilkan pelbagai jenis ukiran dan warna.

Lepa merupakan peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh suku kaum Bajau Semporna. Sejak kurun ke-14, ia merupakan pengangkutan utama untuk membawa muatan pedagang-pedagang tempatan dari Semporna ke Kepulauan Sulu, Borneo, Kalimantan. Catatan sejarah juga menunjukkan lepa telah digunakan oleh para pendakwah untuk menyebarkan agama Islam di rantau Asia Tenggara pada awal kurun ke-15.

Oleh itu, lepa dianggap sebagai satu elemen penting dalam hidup dan telah sebati dengan adat dan tradisi Bajau Laut. Ia juga amat berpengaruh dalam perkembangan seni budaya tempatan. Dalam persembahan kebudayaan, alat-alat muzik tradisional ataupun tagungguh akan dimainkan di atas Lepa. Ia merupakan satu lambang keagungan dan warisan budaya bangsa Bajau Semporna di mana ia masih lagi wujud hingga ke hari ini.

Kini, kebanyakan masyarakat Bajau di kawasan berkenaan telah tinggal di darat. Walau bagaimanapun, budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman ini dipersembahkan dengan meriah dan gemilang dalam Perayaan Regatta Lepa untuk dihayati oleh masyarakat terutamanya generasi hari ini.

Perayaan Regatta Lepa disambut pada bulan April setiap tahun di daerah Semporna, Sabah. Ia menjadi perayaan yang penting dalam kalendar masyarakat Bajau Semporna dan boleh dianggap sebagai ‘hari raya’ mereka. Pada tahun 1994, perayaan Regatta Lepa mula diperkenalkan sebagai perayaan di peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan di peringkat negeri Sabah. Seterusnya pada tahun 2003, Perayaan Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini ia merupakan salah satu acara tahunan di Malaysia.

Setiap tahun pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan lepa yang cantik.Lepa-lepa tersebut diukir dengan motif bertemakan laut seperti ikan, duyung dan kuda laut. Ia juga turut dihiasi dengan corak awan larat dan tulisan khat Hiasan ukiran tersebut merangkumi keseluruhan bahagian lepa beserta tiang selain turut dihiasi dengan layar dan bendera tiga segi kecil. Setiap satu lepa juga akan membawa penari-penari dan ahli muzik yang lengkap dengan pakaian tradisional masyarakat Bajau Laut.

Menjadi tradisi kepada sambutan Regatta Lepa, sebanyak lebih 50 buah perahu akan menyertai Pertandingan Sambulayang atau juga dikenali sebagai pertandingan layar dan perahu tercantik. Usaha menghasilkan sebuah lepa yang cantik boleh memakan masa sehingga empat bulan dan kosnya boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Lepa yang paling cantik dan kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang Lepa Tercantik yang merupakan hadiah utama dalam perayaan ini.

Beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berpasangan, renang dan persembahan kesenian dan kebudayaan turut diadakan untuk memeriahkan lagi perayaan ini. Selain itu, pada perayaan ini turut dipamerkan pelbagai jenis kraftangan masyarakat Bajau seperti aksesori wanita, pakaian tradisional, alat-alat tradisioanl dan lain-lain lagi.

Di sebalik perayaan dan kisah sejarah lepa yang panjang ini sebenarnya terselit mesej kepada masyarakat supaya kuat dari aspek mental dan fizikal umpama sebuah lepa yang kuat serta gah belayar di lautan. Hakikatnya, usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya bangsa perlu digerakkan dengan lebih proaktif selaras dengan perkembangan dunia sekarang yang semakin mencabar agar ianya tidak ditelan zaman.


Persembahan tarian di atas lepa

4 comments:

Syuzana said...

aiii..singgah nak cari maklumat perayaan kaum bajau :)

Fikkie Adyka Johari said...

hmm..singgah sini saje2 je..nk cari information...

azmi yusop said...

kaum bajau (sama/samal) telah ditugaskan oleh kesultanan sulu (kaum suluk) mengawasi perairan laut sulu dan laut sulawesi. itu lah sebabnya kaum bajau juga terdapat di indonesia tetapi dikenali dgn nama suku bajoe (same). kaum bajau bertugas sebagai tentera laut bagi kerajaan2 islam di nusantara (malaysia, indonesia & filipina). kaum bajau daerah pantai barat sabah sprti kota belud dan papar adalah tentera laut bagi kesultanan brunei. dan itu lah penyebab mengapa kebudayaan kaum bajau kb/papar (bajau darat) sedikit berbeza dgn budaya kaum bajau semporna (bajau laut). bajau daerah semporna atau pantai timur sabah berkongsi budaya dgn kaum suluk kerana hubungan diantara kaum bajau dan suluk sangat rapat sehingga brlakunya perkahwinan campur diantara dua kaum ini. hehe~

DeeTa said...

akhIr nya dpat jga in4mation aBouT regatta lepa..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails