June 22, 2017

E21- Memori Kad Raya

Teks : Azni Aziz
Foto : Azni Aziz



Zaman dulu, awal-awal puasa lagi dah sibuk beli kad raya. Memang dah siap sedia dengan senarai penerimanya. Masa itu kad yang mampu beli pun harga 50 sen atau pun yang dijual secara paket.

Untuk yang jauh, kad raya wajib diposkan awal dengan harapan orang yang terima tu sempat balas balik. Arwah ayah la jadi mangsa ke pejabat pos.

Seronok betul kalau terima kad raya. Terutamanya yang diposkan. Siap banding dengan kawan-kawan siapa terima lagi banyak kad raya dan kad raya siapa paling cantik.

Zaman sekolah dulu pernah juga hantar kad raya kepada artis seperti KRU, Siti Nurhaliza, Zamani Slam, Nora dan lain-lain. Adalah artis yang balas balik. Waah, masa tu ukan main seronok lagi. Siap menunjuk-nunjuk lagi pada kawan. Maklumlah dapat kad raya dari artis. Ada juga hantar tahun ni, puasa tahun depan baru dapat balasan!

Saya suka simpan kad-kad yang diterima. Semuanya ada nilai sentimental kerana setiap kad ada kenangannya.

Kini zaman dah berubah. Budaya pemberian kad raya sudah dilupakan. Hari ini pelbagai medium digunakan seperti Facebook, Instagram atau Whatsapp sebagai pengganti diri menyampaikan rasa kemaafan, keikhlasan dan tanda ingatan sempena Hari Raya.

Dikesempatan ini saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.




June 14, 2017

E20 - Kuih Butir Nangka Kerana Rindu

Teks : Azni Aziz
Foto : Google


Petang semalam sempat menyediakan ‘butir nako’ untuk berbuka. Sudah beberapa hari berkira-kira nak buat butir nako, tapi suami kurang gemar kuih ini. Itu yang terbantut niat. Ye lah, alang-alang saja kalau nak buat untuk makan seorang.
Nak beli di bazar, malas pula. Lagipun lebih teringin nak makan air tangan sendiri. Kata suami “ buat saja lah kalau nak makan. Buat lebih nanti boleh bagi pada jiran”. Kebetulan petang semalam si kecik Nur Sumayyah tidur lena, jadi sempatlah ibu bersilat di dapur tanpa gangguan.
Setiap kali di bulan puasa, kuih butir nako ni memang termasuk dalam senarai menu wajib saya. Dapat makan sekali pun jadi lah. Sebenarnya ada memori di sebalik kuih butir nako. Ia juadah kegemaran arwah ayah di bulan puasa.
Jadi, bila dapat buat dan makan kuih butir nako ibarat mengubat kerinduan pada arwah ayah.

May 8, 2017

E19 - Kedai Nasi Ayam Goreng Cincang AJ (Nasi Ala Kak Wok)

Teks : Azni Aziz
Foto : Google


Bagi rakyat Kelantan yang merantau di luar pastinya merindui kelazatan makanan-makanan Kelantan. Dengan adanya rakyat Kelantan yang menjalankan perniagaan makanan Kelantan  di luar sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan tersebut.

Kelantan memang tidak asing dengan pelbagai juadah yang enak. Bukan sahaja digemari rakyatnya sendiri malah makanan Kelantan turut digemari oleh masyarakat luar. Antara makanan yang popular dan menjadi tular di luar Kelantan pada masa ini ialah ‘Nasi Kak Wok’.

Jika ditanya kami rakyat Kelantan mengenai Nasi Kak Wok, pastinya terbayang nasi ayam goreng kunyit yang dipotong kecil bersama kuah dalca dan sambal belacan. Sedap dimakan panas-panas.

Sebagaimana tularnya Nasi Kak Wok di luar Kelantan terutamanya di Lembah Klang, begitulah juga penambahan restoran atau gerai yang menawarkan menu ‘Nasi Kak Wok’.

Di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan sekitarnya juga tidak susah untuk mencari ‘Nasi Kak Wok’. Dalam banyak tempat yang saya cuba, kedai Nasi Ayam Cincang AJ di Desa Pinggiran Putra hampir sama dengan ‘Nasi Kak Wok’ ori. Waktu operasi dari jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang. Waktu kemuncak antara pukul 12.00 tengahari hingga pukul 2.00 petang. Kalau datang waktu ini siap beratur panjang dan menunggu untuk tempat duduk.


Nasi Ayam Cincang AJ ini hanya menjual nasi putih dengan lauk ayam goreng cincang (Nasi Ala Kak Wok) sahaja. Tidak ada menu lain. Harganya cuma RM5.00 (biasa) dan RM6.50 (special). Sayangnya kedai ini tidak beroperasi pada hari minggu.

Jika kalian datang ke Putrajaya boleh lah ke kedai ini seperti alamat di bawah.

Nasi Berlauk Ayam Cincang AJ
Persiaran Desa Pinggiran Putra,
43000 Kajang, Selangor.
(berdekatan Putrajaya).
Koordinat GPS : 
2.909365, 101.708654

Waktu Operasi :
11.00 pagi - 4.00 petang
Hari Ahad Tutup

April 25, 2017

E16 - UNESCO Iktiraf Batu Bersurat Terengganu

Teks : Azni Aziz
Foto : Fariz Faizal



Pengiktirafan Batu Bersurat Terengganu di bawah Memory of the World oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kerana warisan negara kita mendapat pengiktirafan dunia.

Pengiktirafan ini cukup bermakna kepada negara kerana ia termasuk di antara 139 jumlah warisan daripada 76 buah negara yang telah didaftarkan di bawah Memory of the World sehingga tahun 2009.

Ini adalah pengiktirafan keempat yang diterima oleh Malaysia selepas pengiktirafan kepada Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat-surat Sultan Abdul Hamid. Kesemuanya pada 2001.

Batu bersurat yang mempunyai ketinggian 86cm, lebar 53cm di bahagian atas dan 24cm di bahagian bawah ini asalnya telah dijumpai oleh seorang peniaga iaitu Saiyed Husin Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902.

Beliau menyedarinya ketika sedang mengambil wuduk di sebuah surau di Kampung Buluh, Kuala Berang Terengganu di mana batu tersebut dijadikan alas kaki. Batu yang seberat 214.8kg ini kemudiannya dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III dengan bantuan penduduk kampung tersebut.

Seterusnya batu itu dipinjamkan kepada Muzium Singapura pada 1923. Selepas Muzium Negara siap dibina , ia di bawa ke sana. Manakala pada 1991, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memulangkan batu bersurat tersebut kembali ke Terengganu dan dipamerkan di Muzium Terengganu.

Tidak mudah Batu Bersurat Terengganu mendapat pengiktirafan daripada UNESCO. Antara aspek yang dinilai sebelum memberi pengiktirafan ialah ia mesti mempunyai keunikan dan kepentingan peringkat dunia, ia satu-satunya warisan yang perlu dibuktikan keasliannya serta memenuhi salah satu kriteria yang dikaitkan sama ada dari segi masa atau zaman, tempat, masyarakat, perkara atau tema, gaya atau tatacara.

Batu Bersurat Terengganu dari segi keasliannya merupakan satu-stunya bentuk yang ada dalam jenisnya di Asia Tenggra dan tiada yang lain lagi. Ia juga menjadi bukti utama sumber rujukan mengenai kedatangan Islam dan ekonomi global di Asia Tenggara.

Dengan keunikan yang tiada bandingan, Batu Bersurat Terengganu dianggap mempunyai kepentingan tambahan terutama dalam konteks pemahaman politik dan sejarah sosial Asia Tenggara, perubahan keagamaan serta tahap ekonomi masyarakatnya.

Hakikatnya, pengiktirafan terhadap Batu Bersurat yang bertarikh 4 rejab 702 hijrah @ 22 Februari 1303 itu telah membuktikan kewujudan tulisan jawi dalam dunia Melayu Muslim di Asia Tenggara. Selain itu diharapkan pengiktirafan ini dapat mewujudkan kesedaran dan kecintaan pada warisan kita.















E 15 - Perayaan Regatta Lepa : Hari Raya Masyarakat Bajau Semporna

Teks : Azni Aziz
Foto : Muhammad Zulfadzli Selamat

Lepa-lepa yang dihias cantik untuk pertandingan


Kita bertuah tinggal di Malaysia. Masyarakat Malaysia yang majmuk memberi peluang kepada kita untuk menghayati keunikan dan keindahan seni budaya pelbagai etnik di negara ini. Sabah, salah satu negeri di Malaysia yang terletak di Utara Pulau Borneo bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semulajadi, tetapi  juga kaya dengan warisan budaya penduduknya.

Suku kaum Bajau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak berabad lamanya. Suku kaum Bajau terbahagi kepada dua, iaitu Bajau Laut dan Bajau Darat. Bagi Bajau Laut, mereka mendiami kawasan pesisir pantai terutama di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Labuan. Manakala Bajau Darat lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat seperti Papar, Tuaran, Kota Belud, Kudat dan Kota Kinabalu.


Masyarakat Bajau Laut di Semporna Sabah terkenal dengan kehebatan mereka sebagai pelaut yang disegani. Bagi mereka, laut bukan sahaja sebagai sumber rezeki tetapi turut memberikan pelbagai inspirasi dan pengaruh tersendiri kepada kehidupan.

Hakikatnya, laut adalah dunia mereka. Buktinya mereka bukan sahaja menetap di tepi laut tetapi juga tinggal 'di atas laut' dengan menjadikan lepa sebagai kediaman rasmi atau rumah mereka. Mereka hidup di atas lepa dan menjalani sebahagian besar hidup di laut dan hanya naik ke darat untuk mendapatkan bekalan air, kayu api dan upacara pengebumian. Bajau Laut memang sinonim dengan lepa.

Lepa dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud perahu atau bot. Biasanya Lepa diperbuat daripada kayu jenis Ubar Suluk ataupun Seraya Merah. Lazimnya, lepa berukuran lapan meter panjang dan dua meter lebar serta menampilkan pelbagai jenis ukiran dan warna.Biasanya sebuah lepa didiami oleh sebuah keluarga yang dianggotai lima hingga enam orang. Setiap lepa yang didiami sesebuah keluarga Bajau menampilkan seni ukiran dan saiz yang berbeza di mana ia menggambarkan status keluarga tersebut. 

Lepa merupakan peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh suku kaum Bajau Semporna. Sejak kurun ke-14, ia merupakan pengangkutan utama untuk membawa muatan pedagang-pedagang tempatan dari Semporna ke Kepulauan Sulu, Borneo, Kalimantan. Catatan sejarah juga menunjukkan lepa telah digunakan oleh para pendakwah untuk menyebarkan agama Islam di rantau Asia Tenggara pada awal kurun ke-15.

Oleh itu, lepa dianggap sebagai satu elemen penting dalam hidup dan telah sebati dengan adat dan tradisi Bajau Laut. Ia juga amat berpengaruh dalam perkembangan seni budaya tempatan. Dalam persembahan kebudayaan, alat-alat muzik tradisional ataupun tagungguh akan dimainkan di atas Lepa. Ia merupakan satu lambang keagungan dan warisan budaya bangsa Bajau Semporna di mana ia masih lagi wujud hingga ke hari ini.

Kini, kebanyakan masyarakat Bajau di kawasan berkenaan telah tinggal di darat. Walau bagaimanapun, budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman ini dipersembahkan dengan meriah dan gemilang dalam Perayaan Regatta Lepa untuk dihayati oleh masyarakat terutamanya generasi hari ini.

Perayaan Regatta Lepa disambut pada bulan April setiap tahun di daerah Semporna, Sabah. Ia menjadi perayaan yang penting dalam kalendar masyarakat Bajau Semporna dan boleh dianggap sebagai ‘hari raya’ mereka. Pada tahun 1994, perayaan Regatta Lepa mula diperkenalkan sebagai perayaan di peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan di peringkat negeri Sabah. Seterusnya pada tahun 2003, Perayaan Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini ia merupakan salah satu acara tahunan di Malaysia.

Setiap tahun pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan lepa yang cantik.Lepa-lepa tersebut diukir dengan motif bertemakan laut seperti ikan, duyung dan kuda laut. Ia juga turut dihiasi dengan corak awan larat dan tulisan khat Hiasan ukiran tersebut merangkumi keseluruhan bahagian lepa beserta tiang selain turut dihiasi dengan layar dan bendera tiga segi kecil. Setiap satu lepa juga akan membawa penari-penari dan ahli muzik yang lengkap dengan pakaian tradisional masyarakat Bajau Laut.

Menjadi tradisi kepada sambutan Regatta Lepa, sebanyak lebih 50 buah perahu akan menyertai Pertandingan Sambulayang atau juga dikenali sebagai pertandingan layar dan perahu tercantik. Usaha menghasilkan sebuah lepa yang cantik boleh memakan masa sehingga empat bulan dan kosnya boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Lepa yang paling cantik dan kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang Lepa Tercantik yang merupakan hadiah utama dalam perayaan ini.

Beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berpasangan, renang dan persembahan kesenian dan kebudayaan turut diadakan untuk memeriahkan lagi perayaan ini. Selain itu, pada perayaan ini turut dipamerkan pelbagai jenis kraftangan masyarakat Bajau seperti aksesori wanita, pakaian tradisional, alat-alat tradisioanl dan lain-lain lagi.

Di sebalik perayaan dan kisah sejarah lepa yang panjang ini sebenarnya terselit mesej kepada masyarakat supaya kuat dari aspek mental dan fizikal umpama sebuah lepa yang kuat serta gah belayar di lautan. Hakikatnya, usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya bangsa perlu digerakkan dengan lebih proaktif selaras dengan perkembangan dunia sekarang yang semakin mencabar agar ianya tidak ditelan zaman.

Persembahan tarian di atas lepa

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails