May 8, 2017

E19 - Kedai Nasi Ayam Goreng Cincang AJ (Nasi Ala Kak Wok)

Teks : Azni Aziz
Foto : Google


Bagi rakyat Kelantan yang merantau di luar pastinya merindui kelazatan makanan-makanan Kelantan. Dengan adanya rakyat Kelantan yang menjalankan perniagaan makanan Kelantan  di luar sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan tersebut.

Kelantan memang tidak asing dengan pelbagai juadah yang enak. Bukan sahaja digemari rakyatnya sendiri malah makanan Kelantan turut digemari oleh masyarakat luar. Antara makanan yang popular dan menjadi tular di luar Kelantan pada masa ini ialah ‘Nasi Kak Wok’.

Jika ditanya kami rakyat Kelantan mengenai Nasi Kak Wok, pastinya terbayang nasi ayam goreng kunyit yang dipotong kecil bersama kuah dalca dan sambal belacan. Sedap dimakan panas-panas.

Sebagaimana tularnya Nasi Kak Wok di luar Kelantan terutamanya di Lembah Klang, begitulah juga penambahan restoran atau gerai yang menawarkan menu ‘Nasi Kak Wok’.

Di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan sekitarnya juga tidak susah untuk mencari ‘Nasi Kak Wok’. Dalam banyak tempat yang saya cuba, kedai Nasi Ayam Cincang AJ di Desa Pinggiran Putra hampir sama dengan ‘Nasi Kak Wok’ ori. Waktu operasi dari jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang. Waktu kemuncak antara pukul 12.00 tengahari hingga pukul 2.00 petang. Kalau datang waktu ini siap beratur panjang dan menunggu untuk tempat duduk.


Nasi Ayam Cincang AJ ini hanya menjual nasi putih dengan lauk ayam goreng cincang (Nasi Ala Kak Wok) sahaja. Tidak ada menu lain. Harganya cuma RM5.00 (biasa) dan RM6.50 (special). Sayangnya kedai ini tidak beroperasi pada hari minggu.

Jika kalian datang ke Putrajaya boleh lah ke kedai ini seperti alamat di bawah.

Nasi Berlauk Ayam Cincang AJ
Persiaran Desa Pinggiran Putra,
43000 Kajang, Selangor.
(berdekatan Putrajaya).
Koordinat GPS : 
2.909365, 101.708654

Waktu Operasi :
11.00 pagi - 4.00 petang
Hari Ahad Tutup

April 25, 2017

E16 - UNESCO Iktiraf Batu Bersurat Terengganu

Teks : Azni Aziz
Foto : Fariz Faizal



Pengiktirafan Batu Bersurat Terengganu di bawah Memory of the World oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kerana warisan negara kita mendapat pengiktirafan dunia.

Pengiktirafan ini cukup bermakna kepada negara kerana ia termasuk di antara 139 jumlah warisan daripada 76 buah negara yang telah didaftarkan di bawah Memory of the World sehingga tahun 2009.

Ini adalah pengiktirafan keempat yang diterima oleh Malaysia selepas pengiktirafan kepada Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat-surat Sultan Abdul Hamid. Kesemuanya pada 2001.

Batu bersurat yang mempunyai ketinggian 86cm, lebar 53cm di bahagian atas dan 24cm di bahagian bawah ini asalnya telah dijumpai oleh seorang peniaga iaitu Saiyed Husin Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902.

Beliau menyedarinya ketika sedang mengambil wuduk di sebuah surau di Kampung Buluh, Kuala Berang Terengganu di mana batu tersebut dijadikan alas kaki. Batu yang seberat 214.8kg ini kemudiannya dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III dengan bantuan penduduk kampung tersebut.

Seterusnya batu itu dipinjamkan kepada Muzium Singapura pada 1923. Selepas Muzium Negara siap dibina , ia di bawa ke sana. Manakala pada 1991, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memulangkan batu bersurat tersebut kembali ke Terengganu dan dipamerkan di Muzium Terengganu.

Tidak mudah Batu Bersurat Terengganu mendapat pengiktirafan daripada UNESCO. Antara aspek yang dinilai sebelum memberi pengiktirafan ialah ia mesti mempunyai keunikan dan kepentingan peringkat dunia, ia satu-satunya warisan yang perlu dibuktikan keasliannya serta memenuhi salah satu kriteria yang dikaitkan sama ada dari segi masa atau zaman, tempat, masyarakat, perkara atau tema, gaya atau tatacara.

Batu Bersurat Terengganu dari segi keasliannya merupakan satu-stunya bentuk yang ada dalam jenisnya di Asia Tenggra dan tiada yang lain lagi. Ia juga menjadi bukti utama sumber rujukan mengenai kedatangan Islam dan ekonomi global di Asia Tenggara.

Dengan keunikan yang tiada bandingan, Batu Bersurat Terengganu dianggap mempunyai kepentingan tambahan terutama dalam konteks pemahaman politik dan sejarah sosial Asia Tenggara, perubahan keagamaan serta tahap ekonomi masyarakatnya.

Hakikatnya, pengiktirafan terhadap Batu Bersurat yang bertarikh 4 rejab 702 hijrah @ 22 Februari 1303 itu telah membuktikan kewujudan tulisan jawi dalam dunia Melayu Muslim di Asia Tenggara. Selain itu diharapkan pengiktirafan ini dapat mewujudkan kesedaran dan kecintaan pada warisan kita.















E 15 - Perayaan Regatta Lepa : Hari Raya Masyarakat Bajau Semporna

Teks : Azni Aziz
Foto : Muhammad Zulfadzli Selamat

Lepa-lepa yang dihias cantik untuk pertandingan


Kita bertuah tinggal di Malaysia. Masyarakat Malaysia yang majmuk memberi peluang kepada kita untuk menghayati keunikan dan keindahan seni budaya pelbagai etnik di negara ini. Sabah, salah satu negeri di Malaysia yang terletak di Utara Pulau Borneo bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semulajadi, tetapi  juga kaya dengan warisan budaya penduduknya.

Suku kaum Bajau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak berabad lamanya. Suku kaum Bajau terbahagi kepada dua, iaitu Bajau Laut dan Bajau Darat. Bagi Bajau Laut, mereka mendiami kawasan pesisir pantai terutama di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Labuan. Manakala Bajau Darat lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat seperti Papar, Tuaran, Kota Belud, Kudat dan Kota Kinabalu.


Masyarakat Bajau Laut di Semporna Sabah terkenal dengan kehebatan mereka sebagai pelaut yang disegani. Bagi mereka, laut bukan sahaja sebagai sumber rezeki tetapi turut memberikan pelbagai inspirasi dan pengaruh tersendiri kepada kehidupan.

Hakikatnya, laut adalah dunia mereka. Buktinya mereka bukan sahaja menetap di tepi laut tetapi juga tinggal 'di atas laut' dengan menjadikan lepa sebagai kediaman rasmi atau rumah mereka. Mereka hidup di atas lepa dan menjalani sebahagian besar hidup di laut dan hanya naik ke darat untuk mendapatkan bekalan air, kayu api dan upacara pengebumian. Bajau Laut memang sinonim dengan lepa.

Lepa dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud perahu atau bot. Biasanya Lepa diperbuat daripada kayu jenis Ubar Suluk ataupun Seraya Merah. Lazimnya, lepa berukuran lapan meter panjang dan dua meter lebar serta menampilkan pelbagai jenis ukiran dan warna.Biasanya sebuah lepa didiami oleh sebuah keluarga yang dianggotai lima hingga enam orang. Setiap lepa yang didiami sesebuah keluarga Bajau menampilkan seni ukiran dan saiz yang berbeza di mana ia menggambarkan status keluarga tersebut. 

Lepa merupakan peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh suku kaum Bajau Semporna. Sejak kurun ke-14, ia merupakan pengangkutan utama untuk membawa muatan pedagang-pedagang tempatan dari Semporna ke Kepulauan Sulu, Borneo, Kalimantan. Catatan sejarah juga menunjukkan lepa telah digunakan oleh para pendakwah untuk menyebarkan agama Islam di rantau Asia Tenggara pada awal kurun ke-15.

Oleh itu, lepa dianggap sebagai satu elemen penting dalam hidup dan telah sebati dengan adat dan tradisi Bajau Laut. Ia juga amat berpengaruh dalam perkembangan seni budaya tempatan. Dalam persembahan kebudayaan, alat-alat muzik tradisional ataupun tagungguh akan dimainkan di atas Lepa. Ia merupakan satu lambang keagungan dan warisan budaya bangsa Bajau Semporna di mana ia masih lagi wujud hingga ke hari ini.

Kini, kebanyakan masyarakat Bajau di kawasan berkenaan telah tinggal di darat. Walau bagaimanapun, budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman ini dipersembahkan dengan meriah dan gemilang dalam Perayaan Regatta Lepa untuk dihayati oleh masyarakat terutamanya generasi hari ini.

Perayaan Regatta Lepa disambut pada bulan April setiap tahun di daerah Semporna, Sabah. Ia menjadi perayaan yang penting dalam kalendar masyarakat Bajau Semporna dan boleh dianggap sebagai ‘hari raya’ mereka. Pada tahun 1994, perayaan Regatta Lepa mula diperkenalkan sebagai perayaan di peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan di peringkat negeri Sabah. Seterusnya pada tahun 2003, Perayaan Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini ia merupakan salah satu acara tahunan di Malaysia.

Setiap tahun pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan lepa yang cantik.Lepa-lepa tersebut diukir dengan motif bertemakan laut seperti ikan, duyung dan kuda laut. Ia juga turut dihiasi dengan corak awan larat dan tulisan khat Hiasan ukiran tersebut merangkumi keseluruhan bahagian lepa beserta tiang selain turut dihiasi dengan layar dan bendera tiga segi kecil. Setiap satu lepa juga akan membawa penari-penari dan ahli muzik yang lengkap dengan pakaian tradisional masyarakat Bajau Laut.

Menjadi tradisi kepada sambutan Regatta Lepa, sebanyak lebih 50 buah perahu akan menyertai Pertandingan Sambulayang atau juga dikenali sebagai pertandingan layar dan perahu tercantik. Usaha menghasilkan sebuah lepa yang cantik boleh memakan masa sehingga empat bulan dan kosnya boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Lepa yang paling cantik dan kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang Lepa Tercantik yang merupakan hadiah utama dalam perayaan ini.

Beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berpasangan, renang dan persembahan kesenian dan kebudayaan turut diadakan untuk memeriahkan lagi perayaan ini. Selain itu, pada perayaan ini turut dipamerkan pelbagai jenis kraftangan masyarakat Bajau seperti aksesori wanita, pakaian tradisional, alat-alat tradisioanl dan lain-lain lagi.

Di sebalik perayaan dan kisah sejarah lepa yang panjang ini sebenarnya terselit mesej kepada masyarakat supaya kuat dari aspek mental dan fizikal umpama sebuah lepa yang kuat serta gah belayar di lautan. Hakikatnya, usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya bangsa perlu digerakkan dengan lebih proaktif selaras dengan perkembangan dunia sekarang yang semakin mencabar agar ianya tidak ditelan zaman.

Persembahan tarian di atas lepa

E14 - Kilang Bateri : Destinasi Wajib Kunjung Jika Ke Johor

Teks : Azni Aziz
Foto : Google





Siapa sangka tapak asalnya dulu adalah sebuah kilang bateri kini dibangunkan sebagai tempat membeli-belah dan sesuai untuk seisi keluarga.

Masih mengekalkan nama sebagai Kilang Bateri bagi menggambarkan keunikannya tersendiri kini Kilang Bateri tersenarai sebagai lokasi pertama daripada empat wajib dikunjungi di Johor Baharu selepas Pasar Karat, Johor Premium Outlet dan Puteri Harbaour.

Kilang Bateri yang terletak di Jalan  Tampoi ini dibangunkan atas usaha gabungan tiga syarikat bumiputera tempatan iaitu Fun Time Sdn. Bhd., Johor Concept dan Skala Reka Sdn. Bhd. Pembangunannya masih mengekalkan sebahagian struktur bangunan lama dan selebihnya diubah suai dengan konsep vintaj dan hipster.

Berkesempatan berkunjung ke sini sewaktu mengikuti rombongan Program Kembara Media 2016 Negeri Johor anjuran Jabatan Penerangan Malaysia pada Oktober tahun lepas menerbitkan rasa kagum di hati saya. Bayangkan sebuah tapak tinggalan Kilang Bateri Eveready yang berpindah operasinya ke Filipina telah ditransformasikan menjadi sebuah pusat membeli belah berkonsepkan outlet premium yang menawarkan produk-produk tempatan. Selain itu antara tujuan awal Kilang Bateri diwujudkan adalah untuk menyediakan platform kepada orang muda mengekspresikan diri mereka.

Kilang bateri yang mula dibuka kepada umum sejak Jun 2015 ini kini mempunyai lebih kurang 30 kedai makanan dan 150 kedai pakaian, aksesori, perkhidmatan gunting rambut, 'event space' dan sebagainya. Waktu operasinya adalah bermula dari 12.00 tengahari hingga 12.00 malam.

Ternyata mengubah kilang lama dan terbiar sehingga menjadi tarikan bukan sahaja penduduk setempat tetapi pengujung dari luar, memang disifatkan sebagai idea gila. Namun, itulah unik dan menariknya Kilang Bateri yang berjaya menjadi antara tempat menarik di Johor untuk dikunjungi jika bertandang ke Negeri Selatan Semenanjung ini.

Dicatatkan Kilang Bateri menerima jumlah pengunjung yang semakin meningkat iaitu sebanyak 4,000 hingga 6,000 orang pengunjung pada hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad). Selain itu, mereka juga menerima kunjungan daripada pengunjung Singapura dan negeri-negeri berhampiran.


April 20, 2017

E 13 - Sambutan Hari Moyang

Teks : Azni Aziz
Foto : Muhammad Zulfadly Selamat

patung dewa

Kerja aku telah memberi peluang kepada aku untuk lebih mengenali adat dan budaya kaum-kaum yang ada di Malaysia. Rasa bertuah diberi kesempatan untuk mengetahui keunikan budaya masyarakat majmuk di Negara kita. Jadi rasanya rugi kalau pengetahuan yang sedikit ini tidak dikongsi bersama kawan-kawan.

Mungkin penjelasan aku tidak menyeluruh kerana aku bukanlah ahli dalam bidang ini. Tapi aku harap sedikit sebanyak ia dapat memberi pengetahuan dan rujukan kepada sesiapa yang belum tahu. Dan kepada sesiapa yang sudah tahu atau sememangnya arif tentang perkara ini harap dapat ditegur jika ada kesalahan atau kekurangan.

Hari moyang adalah hari beribadah bagi kaum Orang Asli di Malaysia. Ia disambut pada 16 Mac setiap tahun. Hari moyang ni merupakan satu hari dalam setahun bagi semua Orang Asli memohon doa supaya Negara kita dijauhi daripada malapetaka seperti gempa bumi, tsunami, kemarau dan sebagainya. Pada hari tersebut dan selama tiga hari berturut-turut, kaum-kaum Orang Asli dilarang membunuh apa jua kehidupan atau merosakkan alam semula jadi ciptaan tuhan. Mengikut Kepercayaan mereka, jika pantang larang ini dilanggar, maka akan timbul malapetaka yang akan berlaku.

Bagaimana acara sambutan Hari Moyang ini diadakan? Pada pagi 16 Mac setiap tahun, semua penduduk kampung akan berkumpul di satu kawasan yang dikenali sebagai Sanggar Beribadah di setiap kampung masing-masing dengan mengarak moyang (patung dewa) dan memohon restu dari Tok Pawang. Selepas itu Tok Pawang akan menjalankan upacara pemujaan dan setiap orang kampung akan memohon restu daripada Tok Pawang.

Selepas acara memohon restu, mereka akan ke bangsal khas untuk menikmati jamuan makanan tradisional yang mereka bawa sendiri secara “pot luck”. Bagi upacara yang dihadiri oleh orang kenamaan, satu upacara khas seperti mencuci kaki dan menepung tawar (tabor bertih) akan dilakukan terlebih dahulu sebelum upacara pemujaan dilakukan. Kemudian Tok Pawang akan memberi restu untuk kesejahteraan orang kenamaan tersebut.

Di sini apa yang aku faham “Moyang” itu bermaksud satu “semangat” yang dipercayai oleh kaum Orang Asli yang menjaga keamanan mereka dan bukanlah ibu kepada nenek mereka. 

Menepung tawar orang kenamaan


April 19, 2017

E12 - Gila Munduk 2

Teks : Azni Aziz

Perkongsian saya tentang Pasar Munduk, Thailand sebelum ini hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman dan kegilaan rakyat Kelantan membeli-belah di sana.

Rupanya tanpa saya sedar, perkongisan saya itu secara tidak langsung telah mewar-warkan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Sebetulnya aktiviti menyeberangi sempadan tanpa menggunakan dokumen perjalanan yang sah malah menggunakan jalan tikus iaitu laluan yang tidak diwartakan adalah salah di sisi undang-undang. Jadi sudah ada dua kesalahan di situ, kata seorang teman Siti Nadzifah Abdul Rahman, seorang Pegawai Imigresen.

Jika ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia, ia boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959 Seksyen 6 (3) yang memperuntukkan kompaun sebanyak RM10,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


E18 - Selamat Tinggal Sahabat

Teks : Azni Aziz

Pagi ini mendapat berita seorang sahabat dari Sarawak telah meninggal dunia. Sungguh aku terkejut kerana tidak pernah mendapat khabar beliau sedang sakit. Terasa ralat juga kerana jarang berhubung dengan beliau sejak akhir-akhir ini.

Dia aku kenal sewaktu menjalani kursus asas Penolong Pegawai Penerangan di Langkawi. Sudah menjangkau 10 tahun persahabatan kami. Tempoh kursus selama dua minggu pastinya mengeratkan lagi hubungan sesama peserta. Kebetulan sabahat ini menjadi jiran sebelah tempat dudukku selama dua minggu itu.

Teringat semasa di dalam kelas, jika ada kawan-kawan yang mengantuk pasti akan mendapat nota kecil dari beliau yang berbunyi “ mata memang tidak pandai malu”. Begitulah kami usik mengusik selama dua minggu di Langkawi.

Persahabatan aku dan beliau tidak terputus sehingga tamat tempoh kursus. Antara peserta-peserta lain, kami berdua kerap berhubung bertanya khabar. Perbualan terakhir aku bersama beliau adalah menerusi FB Messanger pada awal tahun ini. Beliau bertanyakan perihal banjir di Kelantan. Selalunya selain bertanyakan khabar masing-masing, topik perbualan kami adalah berkaitan isu-isu semasa.

Senang sekali aku bersembang dengan beliau dalam banyak perkara. Walaupun adakalanya tidak sependapat, tapi kami menghormati pendapat masing-masing. Mungkin juga faktor kematangan usia, beliau seringkali dapat meneka apa yang bermain di fikiranku untuk sesuatu isu walaupun jawapan yang aku berikan adalah jawapan selamat.

Pastinya kamu akan sentiasa diingati. Rest in Peace sabahat Lanie Belayong.


April 18, 2017

E11 - Bahaya Penyakit Dengki

Teks : Azni Aziz

Perkataan DENGKI sering kali dikaitkan dengan bangsa Melayu. Dialog “argh…, biasa lah orang Melayu, tak habis-habis dengan perasaaan hasad dengki (PHD)” bagai satu dialog turun temurun. Diwariskan dari zaman ke zaman. Persoalannya, bangsa Melayu sahaja kah yang punya perasaan dengki? Bagaimana dengan bangsa lain, mereka tidak pernah ada perasaan dengki kah sampaikan perasaan dengki diberi hak keistimewaan kepada orang Melayu?

Sebetulnya perasaan dengki itu tidak mengenal bangsa, kaum, jantina mahupun agama. Tidak kira sama ada Melayu, Cina, India waima etnik lain juga punya perasaan dengki. Kerana dengki itu merupakan penyakit hati, terbit dari perasaan kebencian dan kemarahan yang timbul akibat cemburu dan iri hati yang sangat besar. Bohonglah kalau ada sesiapa yang cakap tidak pernah terbit perasaan dengki dalam hati sanubari mereka. Kalau betul maknanya orang itu tidak normal kan?

Kadangkala apabila melihat orang lain yang lebih bijak, lebih cantik, lebih bahagia, lebih kaya dan segala-galanya lebih sempurna dari kita, pasti terdetik rasa iri dan cemburu terhadap mereka. Lebih-lebih lagi orang yang dirasakan sempurna dan lebih serba serbi dari kita itu adalah individu yang kita kenali.

Bagi aku tidak salah untuk merasa cemburu dengan kelebihan orang lain, asalkan perasaan itu tidak berlebih atau masih terkawal. Cemburu boleh jadi positif apabila kita menjadikan kejayaan atau kelebihan orang lain sebagai pembakar semangat untuk terus memajukan diri! Semaju dan sehebat yang mungkin, malah lebih baik dari mereka.

Negatifnya cemburu apabila ia boleh merubah kepada perasaan dengki. Penyakit dengki ini sangat bahaya kerana secara senyap ia mengheret kita mendekati dendam kesumat.

Ada apa dengan dengki? Kerana dengki apa saja kebaikan atau usaha murni orang lain disalah erti. Sudahlah kita cemburukan mereka disebarkan pula wabak itu kepada orang sekeliling. Maka terjadilah dengki secara berjemaah.

Perasaan dengki tidak hanya berhenti setakat ini. Jika dibiarkan, boleh pula menguasai akal dengan pelbagai helah. Mulalah timbul penyakit lain iaitu fitnah dan usaha memburuk atau menjatuhkan orang lain. Lebih teruk lagi apabila menjadikan jin dan syaitan sebagai sahabat dan pemangkin matlamat. Bila sudah kena penyakit dengki, mulalah matlamat menghalalkan cara. Biar segalanya musnah asalkan puas beraja di hati.

Sesungguhnya rasa dengki itu berkembang mekar tanpa batasan. Kadang kala hadirnya tanpa alasan. Ingatlah, kerana dengki kita tidak akan ke mana-mana. Kerana dengki bangsa kita menjadi hina dan hancur binasa. Kerana dengki juga Negara kita porak-peranda.

Oleh itu kawan-kawan, hayatilah kelebihan atau kesempurnaan orang lain itu sebagai satu kurniaan Allah untuk kita berfikir lantas mensyukuri nikmatNya. Setiap yang lebih pasti ada sebabnya. Jadi tidak perlulah kita membebankan diri dengan perasaan dengki yang tidak menguntungkan apa-apa.

Seandainya kita kurang bijak, kurang cantik, kurang bahagia dan kurang kaya daripada orang lain, jangan sesekali berperasaan dengki. Jadikan kekurangan kita sebagai pembakar semangat dan kelebihan mereka sebagai cabaran untuk kita menjadi setanding atau lebih baik. InsyaAllah!


April 15, 2017

E17 - Pertandingan Bowling Media Strikes Again 2017 Meriah!

Teks : Azni Aziz
Foto : JaPen


Hari ini 15 April  aku telah telah ditugaskan sebagai urus setia pertandingan ‘Bowling Media Strikes Again 2017’ di IOI Mall Putrajaya. Program ini adalah acara tahunan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara pengamal media dan JaPen.

Program yang memasuki tahun kelima ini disertai 34 pasukan daripada 23 agensi yang terdiri daripada media cetak, elektronik dan media dalam talian. Penganjuran program ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada media massa yang merupakan rakan strategik dalam membantu memasarkan maklumat dan promosi aktiviti JaPen selama ini.

Dengan jatuhan pin sebanyak 1,341 melayakkan pasukan Utusan Mega muncul juara pertandingan ini mengalahkan 34 pasukan lain. Mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 dan hamper. Manakala pasukan NTV7 dinobatkan sebagai Naib Juara dengan jatuhan pin sebanyak 1,313 dan pasukan RTM meraih tempat ketiga dengan jatuhan pin sebanyak 1,267.

Bagi kategori individu, dua wakil NTV7 Ahmad Fadhilah Abdul Aziz dan Lyana Ramli dinobatkan pemenang selepas melakukan 427 dan 273 jatuhan pin. Kedua-duanya membawa pulang RM200.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) JaPen, Dato’ Mohd Sukari Ab Hamid, Pengurus Besar BERNAMA Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Berita Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Encik Nasharudin Tajudin dan Ketua Pengarang Thaimoli Encik Tamilselvan yang membuat balingan pertama sebagai tanda simbolik.

Walaupun program bermula agak lewat dari waktu yang ditetapkan kerana beberapa masalah teknilkal, namun ia berakhir dengan baik. Rata-rata peserta berpuas hati.  Dalam melaksanakan apa-apa jua program, kerjasama pasukan amat penting. Barulah kerja berjalan lancar dan hati pun seronok.

Habuannya, usai program bos belanja kami makan Texas Chicken!


April 12, 2017

E7 – Entri Puji Suami

Teks : Azni Aziz

Sejak kebelakangan ini, kesihatan aku sedikit terganggu. Rasanya aku telah mula terkena symptom alahan. Iyalah, kandunganku juga seduah berusia enam minggu.

Kalau mengikut dua kali pengalaman sebelum ini, tahun saja diri mengandung, aku mula mengalami alahan teruk sehinggakan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji di awal kandungan. Harapnya kandungan kali ini aku terlepas dengan pengalaman peritnya alahan mengandung.

Dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, suamilah yang mengambil alih tugas-tugasku di rumah. Dari urusan anak-anak, memasak, cuci dan lipat kain, dialah yang uruskannya. Cuma bab mengemas rumah sahaja dia tidak pandai. Tidak mengapalah, perlahan-lahan aku buat bila rasa sedikit cergas nanti.

Kebetulan pula semalam, pulang dari kerja aku betul-betul tidak larat. Tiba-tiba rasa tidak selesa di perut dan mengigil kesejukan. Sampai di rumah  aku terus ke bilik dan berselimut.

Hampir masuk waktu maghrib, suami masuk ke bilik dan bertanya, “ ayang nak madi air sejuk ke panas?. Dah nak masuk waktu maghrib ni, bangunlah mandi dan solat. Nanti sambunglah rehat.”. Tanpa menunggu jawapan dari aku, dia terus ke dapur dan menjerang air. Lima minit kemudian dia masuk semula ke bilik dan mengarahkan aku untuk mandi. Air panas telah disediakan di bilik air.
Perasaan aku? Tentulah terharu. Terima kasih encik suami, dalam sibuk melayan karenah anak-anak kecil dan uruskan rumah, kebajikan isteri tetap dijaga.

Sejujurnya suami aku bukanlah seorang yang romantik. Jika impikan kejutan pada hari lahir atau ulang tahun perkahwinan, mimpi di siang harilah jawabnya. Kalau dia ingat tarikh saja itu sudah cukup baik.

Seperti cantik dan bahagia, romantik juga sesuatu yang subjektif. Jika suami kita tidak berlagak seperti hero di dalam filem atau drama cinta, terimalah seadanya dia. Keikhlasan dia menjaga kita seisi keluarga itupun sudah dikira romantik!


E6 – Mudahnya Menjemput Rezeki

Teks : Azni Aziz

Foto : Google



Akhir tahun lepas aku berpeluang membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki tulisan Ustaz Fathuri Salehuddin. Buku ini dibeli dari seorang rakan. Pada mulanya tujuaan asal aku membaca buku ini adalah untuk engetahui teknik-teknik spesifik menjemput rezeki dengan mudah. Memandangkan waktu itu aku terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan.

Bila disebut perkataan rezeki, pastinya kita terbayangkan duit yang menimbun, rumah besar, kereta mewah, perniagaan yang menguntungkan dan sebagainya. Apabila kita tidak dapat mencapai setiap satu yang disebut tadi, mulalah kita mengeluh dan merasakan sempitnya rezeki kita.

Allahuakbar! Sempitnya pemahaman aku mengenai rezeki Allah. Namu setelah helaian demi helaian buku ini dibaca, aku mula memahami maksud dan konsep rezeki.

Tahukah kita, setiap apa yang memberi manfaat kepada kita, itulah disebut rezeki. Sihat itu rezeki, bahagia itu rezeki, banyak masa juga rezeki, tidak putus idea itu rezeki, dapat yang baik-baik juga adalah rezeki. Betapa luasnya rezeki Allah s.w.t.

Selian dapat memahami konsep rezeki, buku ini juga menjelaskan perbezaan menjemput rezeki dan mencari rezeki. Menjemput rezeki adalah lebih mudah daripada mencari rezeki kerana kita sudah tahu rezeki hanya datang dari Allah. Sedangkan rezeki kalua dicari, kita belum tahu di mana tempatnya. Mulalah kita beralih dari satu kerja ke satu kerja dan timbullah perasaan sukanya mendapat rezeki.

Lagi satu bab yang paling berkesan dalam buku ini iaitu konsep ‘milik kita belum tentu rezeki kita!” Contohnya gaji bulanan kita. Adakah sepenuhnya kita gunakan untuk kegunaan kita. Tentu tidak bukan? Kerana di situ ada rezeki anak-anak kita, rezeki tuan rumah (jika mendiami rumah sewa), rezeki penjual pakaian yang kita beli dan lain-lain lagi. Begitulah kitaran rezeki, sering berkait dengan persekitaran kita.

Kesimpulannya, tidak jemu membaca buku ini kerana setiap muka surat terkandung ilmu yang bermakna. Di sini saya kongsikan antara tips terkandung dalam buku ini.


11 Cara Menjemput Rezeki
  • ·         Utamakan solat wajib
  • ·         Amalan solat tahajjud kunci pembuka segala pintu rezeki
  • ·         Amalan Solat Dhuha
  • ·         Sentiasa basahkan lidah dengan zikrullah
  • ·         Banyakkan berdoa kepadaNya
  • ·         Doakan juga kebaikan kepada orang lain
  • ·         Sedekah
  • ·         Jadikan amalan membaca al-quran
  • ·         Amalkan asma al-husna
  • ·         Teruskan berusaha
  • ·         Sentiasa bersyukur kepada Allah

April 7, 2017

E5 - Hutang : Kemudahan atau Beban?


Teks : Azni Aziz

Jika disebut hutang adalah satu kemudahan, pasti ramai yang skeptical dengan pendapat ini. Saya dengan yakin berani mengatakan setiap dari kita pasti terlibat dengan hutang. Bezanya Cuma pada jumlah dan tujuan hutang tersebut.

Lumrah kehidupan manusia, memang ada keinginan. Timbul masalah apabila kekangan kewangan yang dihadapi membuatkan kita tidak mampu untuk memenuhi keinginan tersebut.

Entri ini bukanlah bertujuan menggalakkan orang untuk berhutang. Tetapi saya suka melihat hutang ini dari kedua-kedua sudut (kemudahan dan beban).Terdapat beberapa sebab kenapa saya katakan hutang itu sebagai kemudahan jika ianya dimanfaatkan dengan betul.

·                     Rumah dan kenderaan
Rumah dan kenderaan adalah keperluan asas bagi kita menjalani kehidupan pada masa kini. Cuba bayangkan harga sebuah rumah dan kenderaan menelan belanja puluhan ribu. Berbekalkan gaji bulanan yang sederhana, berapa lama kita perlu menabung untuk membeli rumah dan kenderaan secara tunai. Dengarpun sudah mustahil bunyinya kan?

Disebabkan ianya adalah keperluan yang harus dibeli, dengan adanya kemudahan hutang memungkinkan kita untuk memiliki rumah dan kenderaan tersebut. Namun, padai-pandailah kita mengukur baju di badan sendiri nanti. Jangan pula mengidamkan rumah dan kenderaan melebihi kemampuan sendiri. Wajibkan diri untuk membayar ansuran bulanan agar kemudahan ini tidak bertukar menjadi bebanan.

·                     Peralatan/Perabot rumah
Takkan beli kelengkapan rumah pun nak berhutang kan? Betul, tapi macam mana bagi yang tak mampu nak beli secara tunai? Contohnya peti ais, mesin basuh, dapur dan perabot asas. Bagi saya itu semua kelengkapan yang diperlukan bagi setiap rumah pada masa sekarang. Dengan kemudahan hutang, dapatlah isi rumah menggunakan kelengkapan tersebut sebagai kemudahan harian. Sekali lagi ditegaskan, belilah barang yang sebetulnya menjadi keperluan. Sekiranya ia jatuh kepada perkara sampingan elakkanlah mendapatkannya dengan kaedah hutang.

·                     Pembiayaan pelajaran
Bagi yang datang dari keluarga yang berkemampuan pastinya mereka tidak memerlukan PTPTN, JPA, MARA atau institusi lain untuk menaja pengajian mereka. Begitu juga bagi golongan yang bernasib baik menerima biasiswa untuk pengajian mereka. Tetapi bagaimana pula dengan golongan yang tidak berkemampuan. Peluang menyambung pengajian sudah ada tetapi tersepit dengan maslah kewangan. Pasti  dengan adanya kemudahan pinjaman yang ditawarkan dapat membantu mereka meneruskan pengajian.

Bagi adik-adik yang memilih menggunakan kemudahan ini, jadikanlah ia sebagai tanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh dan berazam untuk melangsaikannya secepat mungkin.

Apabila tamat pengajian dan memperoleh pekerjaan kelak, jangan bertangguh menyelesaikan hutang ini kerana adik-adik di bawah kita nanti juga mungkin memerlukan kemudahan ini.


Kesimpulannya, hutang itu akan menjadi kemudahan sekiranya kita gunakannya dengan cara yang betul. Gunakan kemudahan hutang sekiranya kita yakin dan mampu untuk bayar balik.


E4 - Gila Munduk

Teks & Foto : Azni Aziz
Rujukan : www.hotkelate.tv


Munduk, Thailand, satu nama yang tak asing bagi rakyat Kelantan. Pasar yang terletak kira-kira 9 kilometer dari pintu imigresen Malaysia - Thailand di Rantau Panjang ini menjadi syurga membeli-belah bagi rakyat Kelantan, terutamanya mereka yang tinggal di sekitar Pasir Mas, Tanah Merah, Rantau Panjang, Kota Bharu dan ada juga dari daerah lain.

Jangan tidak percaya, pengunjung dari negeri lain juga tidak melepaskan peluang membeli-belah di Pasar Munduk ketika datang bercuti di negeri ini.

Kebiasaanya Pasar Munduk akan menjadi tumpuan pada hari Isni dan Jumaat kerana pada hari tersebut merupakan hari 'nat' (pasar minggu) di sana'.

Untuk ke Pasar Munduk, tidak perlukan passport atau border pass. Anda boleh terus menyeberangi ke sana dengan menaiki bot sangkut di pengkalan dengan tambang RM1 sehala. Awas! Keselamatan anda tanggungjawab sendiri kerana bot sangkut ini tidak mempunyai aspek keselamatan langsung.




Kami naik pengkalan yang hujung sekali sebab pengkalan depan orang ramai giler..





Gembiranya diaorang ni naik perahu...yang berdiri pun ada!



Pengkalan sebelah Munduk

Jika ditanya kenapa Pasar Munduk begitu menjadi destinasi kegilaan ramai. Jawapannya mudah! Di sini semuanya ada. Dari makanan, pakaian, kelengkapan rumah hinggalah kelengkapan pertanian. Sebut sahaja barang yang dikehendaki, pasti anda akan perolehinya di sini. Malah harga yang di tawarkan jauh lebih murah dari Malaysia waima di kawasan bebas cukai Rantau Panjang.

Berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah beberapa kali berkunjung ke Pasar Munduk, memang rambang mata dibuatnya. Kalau boleh semua barang hendak dibeli. Paling kelakar, mak aku pernah diperli ayah. Katanya kita buat saja rumah di tepi sungai ni, nanti hari-hari boleh menyeberang ke Pasar Munduk. Ini gara-gara mak aku yang ketagih setiap minggu nak berkunjung ke Pasar Munduk.


Suasana di pekan Munduk....berpusu-pusu orang membeli belah








Ish-ish... diaorang ni, nak pergi berebut, nak balik pun tak sabar-sabar..... Relaks lah, perahu banyak lagi tu!




Tu dia...masing-masing penuh tangan bawa barang...


Sudah lama benar aku tidak berkunjung ke Pasar Munduk. Sekejap dengar Kerajaan Malaysia tidak lagi membernarkan rakyat ke sana dan adakala laluannya dibuka. Begitulah kisah di sempadan ni ada pasang surutnya.


April 6, 2017

E3 - Catatan Pengalaman Bisnes Saya

Teks : Azni Aziz

Dunia perniagaan bukanlah asing bagi aku. Keluarga sebelah ayah aku ramai terlibat dengan perniagaan. Datuk aku mengusahakan perniagaan kayu, kakak dana bang kepada ayah aku berniaga barangan runcit dan kedai kopi. Manakala ibu aku sebelum kami sekeluarga berpindah ke Gua Musang berniaga pakaian di Pasar Siti Khadijah.

Darah meniaga memang mengalir dalam tubuh ini. Sementelah lagi kami wanita dari negeri Cik Siti Wan Kembang sudah sinonim dengan perniagaan. Sedikit sebanyak dalam fikiran pasti terdetik untuk berniaga.

Sebenarnya aku tidak pernah bersungguh dalam perniagaan. Sekadar suka-suka dan ingin mencuba. Semasa bekerja di GIATMARA, aku bersama dua orang kawan, Farah dan Ana berkongsi modal menjual tudung bawal dari Kelantan. Pada waktu itu, tudung bawal Kelantan tengah diminati. Sebagai orang Kelantan, aku lah yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan bekalan tudung tersebut.

Kemudiannya sewaktu bekerja di KeKKWa (Kementeria Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) aku menjadi ejen biskut raya kepada kawan. Sempat lah beberapa tahun berniaga biskut raya. Untung jual biskut raya tu dapat lah aku membeli ole-ole biskut raya untuk dibahagikan kepada rumah mak aku dan juga rumah nenek aku. Waktu tu masih bujang, rumah sendiri tak perlulah sediakan biskut raya.
Seterusnya, aku menambah lagi portfolio perniagaan aku dengan menjual pakaian wanita. Kali ini aku berkongsi modal dengan kak nurul. Cuma kali ini kami berniaga secara atas talian dengan menubuhkan sebuah blog http://wwardrobekl.blogspot.com/. Urusan teknikal diserahkan kepada kak nurul kerana dia lebih pakar. Model kami gunakan khidmat kawan pejabat saja, iaitu Syda. Memandangkan dia pangkat adik-adik kepada kami, jadi dia menjadi mangsa buli kami untuk menjadi model. Lokasi shooting hanya dalam pejabat saja. Itulah, berniaga secara atas talian ni, lain cabarannya. Tanpa ilmu dan kesungguhan, maka yang tinggal hanya blog http://wwardrobekl.blogspot.com/  sahaja sebagai kenangan.

Selepas berkahwin aku berpindah rumah dan tempat kerja ke Putrajaya. Di sini aku tidak lagi berniaga biskut raya. Walaupun aku hanya berniaga secara suka-suka, tapi kalau tidak ada benda untuk dijual, mulalah terasa bosan. Pada waktu ini trend orang berniaga secara online. Hari-hari buka Facebook tengok iklan orang berniaga. Aku mula berkira-kira untuk cuba berniaga menerusi Facebook. Akhirnya aku diketemukan dengan produk yang diperbuat dari tanah liat, “Clayever”. Pengasanya kalua tidak silap dari Pahang. Clayever ni produk untuk merawat masalah kulit. Berniaga Clayever ni pun tidak lama. Hanya sempat dua kali restock, kemudia aku berhenti. Lagi sekali aku tekankan berniaga secara atas talian perlukan ilmu dan kemahiran.

Selepas Clayever, aku terjebak pula dengan perniagaan menjual pakaian budak. Kali ini aku lebih fokuskan jualan secara offline. Kami memasang strategi dengan memasang ejen di kampung kerana di sana tidak ramai yang menjual pakaian budak serendah RM5. Tapi sementara itu aku wujudkan juga Page di Facebook iaitu Pakaian Budak Terlajak Murah. Perniagaan ini juga tidak lama kerana aku mengandung anak kedua dan mengalami alahan yang teruk.

Semasa berpantang anak kedua, setiap hari aku buka dan scroll Facebook dengan harapan terjumpa peluang perniagaan baharu. Sehinggalah aku ternampak post dari Puan Hayati yang sedang mencari Jemaah untuk perniagaannya. Dengan bermodalkan RM30 sebagai yuran keahlian, aku dimasukkan ke dalam group Whatsapp. Di sini kami di ajar ilmu-ilmu sebagai permulaan untuk berniaga secara atas talian dengan tertumpu kepada Facebook dan Instagram. Kebetulan juga rakan-rakan Jemaah lain ada yang sudah berpengalaman dan tidak lokek berkongsi ilmu. Maka bermulalah episod aku sebagai dropship Hayat Hijab dan kemudian naik pangkat sebagai ejen. Apabila perniagaan Hayat Hijab makin berkembang, kami dipecahkan mengikut kumpulan stokis. Aku telah memasuki kumpulan Amalina stokis Puchong dan Iman stokis Sepang. Sangat berterima kasih kepada mereka kerana banyk ilmu yang telah dicurahkan.

Facebook page aku yang dulunya aku jenamakan semula dengan nama Hayat Hijab Putrajaya (Kini Hijab Nuur, sebagai langkah persediaan akan datang). Aku wujudkan juga Instagram dengan nama yang sama. Aku beranikan diri melantik dropship sendiri. Ilmu-ilmu yang dikongsi oleh stokis aku salurkan kepada dropship. Selain itu aku buat juga secara offline.  Alhamdulillah, ilmu yang diajar aku aplikasikan sepenuhnya dan ia menampakkan hasil. Selama setahun terlibat dengan perniagaan tudung ni dapatlah aku menabung sedikit. Dalam Jemaah ini kami bukan sahaja diajar ilmu perniagaan, malah turut di ajar cara menguruskan duit perniagaan.

Malangnya berlaku masalah dalaman di peringkat pengurusan, ramai stokis yang lari. Ada yang mengeluarkan jenama sendiri. Group Whatsapp juga sunyi. Tiada lagi sapaan dari pengasas dan macam-macam lagi isu timbul. Waktu ini aku mula bosan. Semangat pun makin luntur dan aku pun meletakkan titik noktah sebagai ejen Hayat Hijab.


Berbekalkan minat dan sedikit ilmu dalam perniagaan online, kini aku masih mengintai-intai peluang perniagaan lain. Aku sendiri tidak sangka, dalam buat hanya sekadar suka-suka, dah bermacam-macam aku jual!

April 5, 2017

E2 - Merai Tetamu Dari Vietnam


Teks & Foto : Azni Aziz






                                     Muka kekenyangan selepas makan dua mangkuk laksa



Kelmarin sewaktu pulang dari pejabat, saya dapat pesanan menerusi whatsapp , kawan dari Vietnam yang kini sedang bercuti di Putrajaya teringin makan laksa.

Allah, mana nak cari kedai laksa lewat petang di Putrajaya ni. Setahu  aku laksa banyak dijual di warung tapi pada waktu siang. Kalau malam pun di pasar malam adalah yang menjual laksa. Dukacitanya jadual pasar malam di Putrajaya adalah pada hari Selasa dan Jumaat.
Tidak mahu mengecewakan tetamu dari jauh, aku dengan pantas meminta bantua dari kawan-kawan di Putrajaya. Lantas aku mengajukan pertanyaan ke whatsapp group kejiranan 5R6. Alhamdulillah ramai yang memberi maklum balas.

Jadinya, malam itu selepas maghrib kami bergerak ke Desa Pinggiran Putra untuk menjemput Kassim dan isterinya, Falahiyah dari rumah emak angkatnya untuk jalan-jalan cari laksa. Destinasinya kiosk di hadapan Maybank Presint 2, Putrajaya.  Mengikut testimoni dari group whatsapp, laksanya boleh tahan sedap. Memang rezeki Kassim dan Falahiyah, waktu perniagaan adalah bermula dari petang hingga lewat malam.

Benar bagai dikata, laksanya memang sedap dan memenuhi cita rasa Kassim dan isterinya. Dek kesedapan dan teringin benar nak menikmati laksa, mereka makan bertambah. Seorang dua mangkuk! Terasa lucu pula tengok gelagat mereka menikmati laksa.
Sebagai tuan rumah, pastinya kami amat berpuas hati dapat memenuhi permintaan Kassim dan Falahiyah.

Oh Ya! Pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana kami mengenali pasangan dari Vietnam ini. Sebetulnya Kassim dan Falahiyah menjalankan perniagaan ejen pelancongan di negara mereka. Semasa membuat persediaan melancong ke Ho Chi Minh pada 2015, seorang kawan telah memperkenalkan Kassim kepada aku. Katanya jika ingin mencari ground di Ho Chi Minh, boleh gunakan khidmat Kassim.

Memandangkan ini trip pertama kami ke Ho Chi Minh, cadangan kawan disambut dengan tangan terbuka. Tidak salah kami membuat keputusan untuk menggunakan khidmat Kassim kerana servisnya memuaskan hati dan harga yang berpatutan. Tambahan pula dia beragama Islam dan fasih berbahasa Melayu.


Bagi kawan-kawan yang ingi ke Ho Chi Minh dan memerlukan khidmat ejen pelancongan, boleh menghubungi Kassim di talian +84 1692938370 atau FB Kasim Fala.  

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails