Menurut satu cerita, terdapat seorang nelayan berperangai pelik. Nelayan ini bernasib baik kerana mata kailnya selalu disambar ikan dan ini menyebabkan beliau dicemburui nelaya-nelayan lain.
Suatu hari, rakan-rakan nelayan ini sangat marah. Mereka marah kerana nelayan tadi melepaskan semula ikan-ikan besar yang tersangkut di mata kailnya. Sebaliknya, hanya ikan-ikan kecil sahaja yang diambil. Apabila ditanya mengenai perbuatannya itu, dengan selamba nelayan itu menjawab “ sebab aku hanya mempunyai kuali yang kecil”.
Kita mungkin tidak percaya ada orang sebodoh nelayan ini. Tetapi malangnya, kita melakukan apa yang dilakukan si nelayan bodoh ini setiap hari.
Apa tidaknya, kita sering membuang idea-idea besar, cita-cita tinggi dan cetusan-cetusan fikiran yang bernilai. Kerana apa? Kerana kita sering menganggap ia lebih besar daripada akal dan kemampuan kita. Sama seperti si nelayan yang membuang ikan-ikan yang besar tadi semata-mata kerana ia lebih besar daripada kuali yang ada di rumahnya.
Pakar motivasi mengingatkan kita dengan berkata, “anda adalah sebagaimana yang anda percaya”. Jadi, berfikirlah dengan lebih jauh. Impikan sesuatu yang lebih besar dan berdoa kepada Allah agar Dia memberikan lebih banyak kepada anda.
Hakikat yang perlu kita tahu, manusia mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang dia kehendaki. Langkah pertama kea rah itu ialah memasang impian. Impian yang besar akan menggariskan kepada kita tujuan dan matlamat. Mengenal pasti tujuan dan matlamat adalah langkah kedua. Matlamat inilah yang menghantui dan mendesak kita supaya ia di capai.
Namun, di sana ada sahaja halangan yang menghalang kita mencapai impian dan menggondol kejayaan. Halangan itu ialah ‘hukuman’ yang kita jatuhkan ke atas diri kita bahawa kita lemah, gagal dan tidak berkeupayaan! Memang benar sikap optimis semata-mata tidak mencukupi. Tetapi yang pasti, sikap pesimis adalah penjenayah sebenar yang membunuh manusia.
-petikan dari Buletin JASA-
1 comment:
bila nak upload bahagian motivasi ni... i need it lah~~
Post a Comment