April 7, 2017

E5 - Hutang : Kemudahan atau Beban?


Teks : Azni Aziz

Jika disebut hutang adalah satu kemudahan, pasti ramai yang skeptical dengan pendapat ini. Saya dengan yakin berani mengatakan setiap dari kita pasti terlibat dengan hutang. Bezanya Cuma pada jumlah dan tujuan hutang tersebut.

Lumrah kehidupan manusia, memang ada keinginan. Timbul masalah apabila kekangan kewangan yang dihadapi membuatkan kita tidak mampu untuk memenuhi keinginan tersebut.

Entri ini bukanlah bertujuan menggalakkan orang untuk berhutang. Tetapi saya suka melihat hutang ini dari kedua-kedua sudut (kemudahan dan beban).Terdapat beberapa sebab kenapa saya katakan hutang itu sebagai kemudahan jika ianya dimanfaatkan dengan betul.

·                     Rumah dan kenderaan
Rumah dan kenderaan adalah keperluan asas bagi kita menjalani kehidupan pada masa kini. Cuba bayangkan harga sebuah rumah dan kenderaan menelan belanja puluhan ribu. Berbekalkan gaji bulanan yang sederhana, berapa lama kita perlu menabung untuk membeli rumah dan kenderaan secara tunai. Dengarpun sudah mustahil bunyinya kan?

Disebabkan ianya adalah keperluan yang harus dibeli, dengan adanya kemudahan hutang memungkinkan kita untuk memiliki rumah dan kenderaan tersebut. Namun, padai-pandailah kita mengukur baju di badan sendiri nanti. Jangan pula mengidamkan rumah dan kenderaan melebihi kemampuan sendiri. Wajibkan diri untuk membayar ansuran bulanan agar kemudahan ini tidak bertukar menjadi bebanan.

·                     Peralatan/Perabot rumah
Takkan beli kelengkapan rumah pun nak berhutang kan? Betul, tapi macam mana bagi yang tak mampu nak beli secara tunai? Contohnya peti ais, mesin basuh, dapur dan perabot asas. Bagi saya itu semua kelengkapan yang diperlukan bagi setiap rumah pada masa sekarang. Dengan kemudahan hutang, dapatlah isi rumah menggunakan kelengkapan tersebut sebagai kemudahan harian. Sekali lagi ditegaskan, belilah barang yang sebetulnya menjadi keperluan. Sekiranya ia jatuh kepada perkara sampingan elakkanlah mendapatkannya dengan kaedah hutang.

·                     Pembiayaan pelajaran
Bagi yang datang dari keluarga yang berkemampuan pastinya mereka tidak memerlukan PTPTN, JPA, MARA atau institusi lain untuk menaja pengajian mereka. Begitu juga bagi golongan yang bernasib baik menerima biasiswa untuk pengajian mereka. Tetapi bagaimana pula dengan golongan yang tidak berkemampuan. Peluang menyambung pengajian sudah ada tetapi tersepit dengan maslah kewangan. Pasti  dengan adanya kemudahan pinjaman yang ditawarkan dapat membantu mereka meneruskan pengajian.

Bagi adik-adik yang memilih menggunakan kemudahan ini, jadikanlah ia sebagai tanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh dan berazam untuk melangsaikannya secepat mungkin.

Apabila tamat pengajian dan memperoleh pekerjaan kelak, jangan bertangguh menyelesaikan hutang ini kerana adik-adik di bawah kita nanti juga mungkin memerlukan kemudahan ini.


Kesimpulannya, hutang itu akan menjadi kemudahan sekiranya kita gunakannya dengan cara yang betul. Gunakan kemudahan hutang sekiranya kita yakin dan mampu untuk bayar balik.


E4 - Gila Munduk

Teks & Foto : Azni Aziz
Rujukan : www.hotkelate.tv


Munduk, Thailand, satu nama yang tak asing bagi rakyat Kelantan. Pasar yang terletak kira-kira 9 kilometer dari pintu imigresen Malaysia - Thailand di Rantau Panjang ini menjadi syurga membeli-belah bagi rakyat Kelantan, terutamanya mereka yang tinggal di sekitar Pasir Mas, Tanah Merah, Rantau Panjang, Kota Bharu dan ada juga dari daerah lain.

Jangan tidak percaya, pengunjung dari negeri lain juga tidak melepaskan peluang membeli-belah di Pasar Munduk ketika datang bercuti di negeri ini.

Kebiasaanya Pasar Munduk akan menjadi tumpuan pada hari Isni dan Jumaat kerana pada hari tersebut merupakan hari 'nat' (pasar minggu) di sana'.

Untuk ke Pasar Munduk, tidak perlukan passport atau border pass. Anda boleh terus menyeberangi ke sana dengan menaiki bot sangkut di pengkalan dengan tambang RM1 sehala. Awas! Keselamatan anda tanggungjawab sendiri kerana bot sangkut ini tidak mempunyai aspek keselamatan langsung.




Kami naik pengkalan yang hujung sekali sebab pengkalan depan orang ramai giler..





Gembiranya diaorang ni naik perahu...yang berdiri pun ada!



Pengkalan sebelah Munduk

Jika ditanya kenapa Pasar Munduk begitu menjadi destinasi kegilaan ramai. Jawapannya mudah! Di sini semuanya ada. Dari makanan, pakaian, kelengkapan rumah hinggalah kelengkapan pertanian. Sebut sahaja barang yang dikehendaki, pasti anda akan perolehinya di sini. Malah harga yang di tawarkan jauh lebih murah dari Malaysia waima di kawasan bebas cukai Rantau Panjang.

Berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah beberapa kali berkunjung ke Pasar Munduk, memang rambang mata dibuatnya. Kalau boleh semua barang hendak dibeli. Paling kelakar, mak aku pernah diperli ayah. Katanya kita buat saja rumah di tepi sungai ni, nanti hari-hari boleh menyeberang ke Pasar Munduk. Ini gara-gara mak aku yang ketagih setiap minggu nak berkunjung ke Pasar Munduk.


Suasana di pekan Munduk....berpusu-pusu orang membeli belah








Ish-ish... diaorang ni, nak pergi berebut, nak balik pun tak sabar-sabar..... Relaks lah, perahu banyak lagi tu!




Tu dia...masing-masing penuh tangan bawa barang...


Sudah lama benar aku tidak berkunjung ke Pasar Munduk. Sekejap dengar Kerajaan Malaysia tidak lagi membernarkan rakyat ke sana dan adakala laluannya dibuka. Begitulah kisah di sempadan ni ada pasang surutnya.


April 6, 2017

E3 - Catatan Pengalaman Bisnes Saya

Teks : Azni Aziz

Dunia perniagaan bukanlah asing bagi aku. Keluarga sebelah ayah aku ramai terlibat dengan perniagaan. Datuk aku mengusahakan perniagaan kayu, kakak dana bang kepada ayah aku berniaga barangan runcit dan kedai kopi. Manakala ibu aku sebelum kami sekeluarga berpindah ke Gua Musang berniaga pakaian di Pasar Siti Khadijah.

Darah meniaga memang mengalir dalam tubuh ini. Sementelah lagi kami wanita dari negeri Cik Siti Wan Kembang sudah sinonim dengan perniagaan. Sedikit sebanyak dalam fikiran pasti terdetik untuk berniaga.

Sebenarnya aku tidak pernah bersungguh dalam perniagaan. Sekadar suka-suka dan ingin mencuba. Semasa bekerja di GIATMARA, aku bersama dua orang kawan, Farah dan Ana berkongsi modal menjual tudung bawal dari Kelantan. Pada waktu itu, tudung bawal Kelantan tengah diminati. Sebagai orang Kelantan, aku lah yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan bekalan tudung tersebut.

Kemudiannya sewaktu bekerja di KeKKWa (Kementeria Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) aku menjadi ejen biskut raya kepada kawan. Sempat lah beberapa tahun berniaga biskut raya. Untung jual biskut raya tu dapat lah aku membeli ole-ole biskut raya untuk dibahagikan kepada rumah mak aku dan juga rumah nenek aku. Waktu tu masih bujang, rumah sendiri tak perlulah sediakan biskut raya.
Seterusnya, aku menambah lagi portfolio perniagaan aku dengan menjual pakaian wanita. Kali ini aku berkongsi modal dengan kak nurul. Cuma kali ini kami berniaga secara atas talian dengan menubuhkan sebuah blog http://wwardrobekl.blogspot.com/. Urusan teknikal diserahkan kepada kak nurul kerana dia lebih pakar. Model kami gunakan khidmat kawan pejabat saja, iaitu Syda. Memandangkan dia pangkat adik-adik kepada kami, jadi dia menjadi mangsa buli kami untuk menjadi model. Lokasi shooting hanya dalam pejabat saja. Itulah, berniaga secara atas talian ni, lain cabarannya. Tanpa ilmu dan kesungguhan, maka yang tinggal hanya blog http://wwardrobekl.blogspot.com/  sahaja sebagai kenangan.

Selepas berkahwin aku berpindah rumah dan tempat kerja ke Putrajaya. Di sini aku tidak lagi berniaga biskut raya. Walaupun aku hanya berniaga secara suka-suka, tapi kalau tidak ada benda untuk dijual, mulalah terasa bosan. Pada waktu ini trend orang berniaga secara online. Hari-hari buka Facebook tengok iklan orang berniaga. Aku mula berkira-kira untuk cuba berniaga menerusi Facebook. Akhirnya aku diketemukan dengan produk yang diperbuat dari tanah liat, “Clayever”. Pengasanya kalua tidak silap dari Pahang. Clayever ni produk untuk merawat masalah kulit. Berniaga Clayever ni pun tidak lama. Hanya sempat dua kali restock, kemudia aku berhenti. Lagi sekali aku tekankan berniaga secara atas talian perlukan ilmu dan kemahiran.

Selepas Clayever, aku terjebak pula dengan perniagaan menjual pakaian budak. Kali ini aku lebih fokuskan jualan secara offline. Kami memasang strategi dengan memasang ejen di kampung kerana di sana tidak ramai yang menjual pakaian budak serendah RM5. Tapi sementara itu aku wujudkan juga Page di Facebook iaitu Pakaian Budak Terlajak Murah. Perniagaan ini juga tidak lama kerana aku mengandung anak kedua dan mengalami alahan yang teruk.

Semasa berpantang anak kedua, setiap hari aku buka dan scroll Facebook dengan harapan terjumpa peluang perniagaan baharu. Sehinggalah aku ternampak post dari Puan Hayati yang sedang mencari Jemaah untuk perniagaannya. Dengan bermodalkan RM30 sebagai yuran keahlian, aku dimasukkan ke dalam group Whatsapp. Di sini kami di ajar ilmu-ilmu sebagai permulaan untuk berniaga secara atas talian dengan tertumpu kepada Facebook dan Instagram. Kebetulan juga rakan-rakan Jemaah lain ada yang sudah berpengalaman dan tidak lokek berkongsi ilmu. Maka bermulalah episod aku sebagai dropship Hayat Hijab dan kemudian naik pangkat sebagai ejen. Apabila perniagaan Hayat Hijab makin berkembang, kami dipecahkan mengikut kumpulan stokis. Aku telah memasuki kumpulan Amalina stokis Puchong dan Iman stokis Sepang. Sangat berterima kasih kepada mereka kerana banyk ilmu yang telah dicurahkan.

Facebook page aku yang dulunya aku jenamakan semula dengan nama Hayat Hijab Putrajaya (Kini Hijab Nuur, sebagai langkah persediaan akan datang). Aku wujudkan juga Instagram dengan nama yang sama. Aku beranikan diri melantik dropship sendiri. Ilmu-ilmu yang dikongsi oleh stokis aku salurkan kepada dropship. Selain itu aku buat juga secara offline.  Alhamdulillah, ilmu yang diajar aku aplikasikan sepenuhnya dan ia menampakkan hasil. Selama setahun terlibat dengan perniagaan tudung ni dapatlah aku menabung sedikit. Dalam Jemaah ini kami bukan sahaja diajar ilmu perniagaan, malah turut di ajar cara menguruskan duit perniagaan.

Malangnya berlaku masalah dalaman di peringkat pengurusan, ramai stokis yang lari. Ada yang mengeluarkan jenama sendiri. Group Whatsapp juga sunyi. Tiada lagi sapaan dari pengasas dan macam-macam lagi isu timbul. Waktu ini aku mula bosan. Semangat pun makin luntur dan aku pun meletakkan titik noktah sebagai ejen Hayat Hijab.


Berbekalkan minat dan sedikit ilmu dalam perniagaan online, kini aku masih mengintai-intai peluang perniagaan lain. Aku sendiri tidak sangka, dalam buat hanya sekadar suka-suka, dah bermacam-macam aku jual!

April 5, 2017

E2 - Merai Tetamu Dari Vietnam


Teks & Foto : Azni Aziz






                                     Muka kekenyangan selepas makan dua mangkuk laksa



Kelmarin sewaktu pulang dari pejabat, saya dapat pesanan menerusi whatsapp , kawan dari Vietnam yang kini sedang bercuti di Putrajaya teringin makan laksa.

Allah, mana nak cari kedai laksa lewat petang di Putrajaya ni. Setahu  aku laksa banyak dijual di warung tapi pada waktu siang. Kalau malam pun di pasar malam adalah yang menjual laksa. Dukacitanya jadual pasar malam di Putrajaya adalah pada hari Selasa dan Jumaat.
Tidak mahu mengecewakan tetamu dari jauh, aku dengan pantas meminta bantua dari kawan-kawan di Putrajaya. Lantas aku mengajukan pertanyaan ke whatsapp group kejiranan 5R6. Alhamdulillah ramai yang memberi maklum balas.

Jadinya, malam itu selepas maghrib kami bergerak ke Desa Pinggiran Putra untuk menjemput Kassim dan isterinya, Falahiyah dari rumah emak angkatnya untuk jalan-jalan cari laksa. Destinasinya kiosk di hadapan Maybank Presint 2, Putrajaya.  Mengikut testimoni dari group whatsapp, laksanya boleh tahan sedap. Memang rezeki Kassim dan Falahiyah, waktu perniagaan adalah bermula dari petang hingga lewat malam.

Benar bagai dikata, laksanya memang sedap dan memenuhi cita rasa Kassim dan isterinya. Dek kesedapan dan teringin benar nak menikmati laksa, mereka makan bertambah. Seorang dua mangkuk! Terasa lucu pula tengok gelagat mereka menikmati laksa.
Sebagai tuan rumah, pastinya kami amat berpuas hati dapat memenuhi permintaan Kassim dan Falahiyah.

Oh Ya! Pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana kami mengenali pasangan dari Vietnam ini. Sebetulnya Kassim dan Falahiyah menjalankan perniagaan ejen pelancongan di negara mereka. Semasa membuat persediaan melancong ke Ho Chi Minh pada 2015, seorang kawan telah memperkenalkan Kassim kepada aku. Katanya jika ingin mencari ground di Ho Chi Minh, boleh gunakan khidmat Kassim.

Memandangkan ini trip pertama kami ke Ho Chi Minh, cadangan kawan disambut dengan tangan terbuka. Tidak salah kami membuat keputusan untuk menggunakan khidmat Kassim kerana servisnya memuaskan hati dan harga yang berpatutan. Tambahan pula dia beragama Islam dan fasih berbahasa Melayu.


Bagi kawan-kawan yang ingi ke Ho Chi Minh dan memerlukan khidmat ejen pelancongan, boleh menghubungi Kassim di talian +84 1692938370 atau FB Kasim Fala.  

April 4, 2017

E1 - Mari berkenalan dengan saya

Teks : Azni Aziz

Assalamualaikum dan salam perkenalan.

Nama diberi Nor Azni Aziz. Kini berusia 36 tahun. Merupakan anak tunggal kepada pasangan Encik Aziz Yaacob dan Puan Rohani Che Mat. Telah enam tahun bergelar  suri hati kepada Mr. Engineer, Suhairi Ahmad. Alhamdulillah kami dikurniakan Allah S.W.T sepasang cahaya mata. Yang sulung Luqmanul Hakim berusia 4 tahun dan yang kedua Nur Sumayyah 1 tahun 6 bulan. Sewaktu coretan ini ditulis, saya baru mendapat tahu dalam tempoh sembilan bulan lagi, ahli keluarga kecil kami akan bertambah.

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kolam, Melor, Kota Bharu Kelantan. Kemudian berpindah ke Gua Musang dan menamatkan pengajian menengah saya di Sekolah Kebangsaan Tengku Indra Petra, Gua Musang. Kemudiannya saya berpeluang menyambung pengajian di peringkat Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sungai Petani. Seterusnya saya melanjutkan lagi pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian) di UiTM Shah Alam.

Pengalaman kerja saya bermula sebagai Kerani di GIATMARA Sdn. Bhd. di bahagian perolehan selama dua tahun. Kemudiannya beralih ke kerja kerajaan sebagai Penolong Pegawai Penerangan bermula 2007 hingga sekarang. Memegang jawatan sebagai orang Penerangan memberi peluang kepada saya bertugas dalam bidang media dan komunikasi korporat. Satu bidang tugas yang sangta mengujakan. Nanti saya kongsikan keseronokan tugas-tugas saya pada entri akan datang.

Setelah direnung-renung rasanya minat saya kepada membaca, menulis dan melancong. Paling diminati semestinya membaca kerana tidak perlu modal. Apa sahaja yang boleh dibaca dan menarik minat, saya tidak memilih waima surat khabar lama. Seiring faktor usia, kini minat saya lebih kepada bahan bacaan berbentuk keagamaan, motivasi, politik dan kadang-kadang novel. Menulis merupakan minat impian saya. Setiap kali saya membaca buku/majalah/akhbar/novel dan sebagainya, terdetik di hati saya, seronoknya kalau saya boleh menulis macam ni. Saya juga gemar melancong, tidak kira di mana-mana destinasi. Dari zaman remaja memang kaki jalan saya ni. Semasa bujang dulu, duit gaji habis untuk berjalan sahaja. Orang kata jauh berjalan luas pengalaman kan? Mujur saya berjodoh dengan orang yang mempunyai minat yang sama. Sejak berkahwin, kami mula menabung dan setiap tahun pasti ada destinasi pilihan untuk dilawat. Walau dekat asal namanya bercuti atau melancong sudah cukup mengujakan.

Oh ya, demi minat impian menulis juga Allah telah gerakkan saya berjumpa di alam maya dengan Puan Masayu Ahmad dan akhirnya terjebak dengan kelas penulisan asas blog kelolaan beliau. Harapan saya semoga kelas ini menjadi titik permulaan saya untuk terus menulis dan menulis hingga dapat menghasilkan sesuatu bahan penerbitan.


Sekian, Wassalam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails