Teks & Foto : Azni Aziz
Alhamdulillah….akhirnya hasrat untuk
ke Pulau Pangkor tertunai jugak. Dari tahun lepas aku sibuk mengajak
kawan-kawan bercuti ke Pulau Pangkor, akhirnya 15 hingga 17 Januari lepas Aku,
Kak Nurul, Yan dan Rehan berkesempatan ke sana. Tema percutian kami kali ini ialah
“mandi-manda dan misi gelapkan kulit”. Tapi bahagian gelapkan kulit tu hanya tema
Kak Nurul sorang!
Perjalanan dengan bas dari Kuala
Lumpur ke Lumut mengambil masa kurang lebih empat jam. Tambangnya RM24.70
sehala. Setibanya di hentian bas H.J.Raja Muda Musa, kami singgah di gerai
untuk mengisi perut. Sambil tu datang seorang kakak ejen pelancongan menawarkan
pakej bilik kepada kami. Memandangkan kami pun belum membuat tempahan bilik
dari awal, jadi kami sepakat untuk menyewa di chalet Suria Beach Resot (SBR)
dengan harga RM110 satu malam. Setelah perut diisi, hati pun senang, maka kami
bergerak ke jeti untuk menaiki feri ke Pulau Pangkor. Tambangnya RM10 untuk
pergi dan balik dan laku dalam tempoh sebulan.
SBR ni terletak di Teluk Nipah.
Chaletnya sangat selesa dan boleh muat sampai lima orang dalam satu bilik.
Sesuai untuk yang datang bercuti secara kumpulan seperti kami. Lokasinya juga berdekatan dengan pantai dan juga
tempat makan. Kata kawan yang pernah ke Pulau Pangkor, elok kalau menginap di
Teluk Nipah berbanding Pasir Bogak. Jaraknya dalam 7km dari jeti. Pilihan penginapan
di Teluk Nipah lebih banyak berbanding dengan Pasir Bogak. Tambahan pula harga
yang ditawarkan adalah berpatutan dan sangat sesuai bagi percutian bajet. Dari
jeti untuk ke Teluk Nipah boleh dengan menaiki teksi van RM3 seorang, atau
boleh juga terus sewa motor atau kereta jika mahu. Kami memilih untuk menaiki
teksi sahaja.
Teksi Pink!
Usai daftar masuk dan bertukar seragam, apa lagi…kami
meneruskan misi untuk mandi-manda. Di Pantai Teluk Nipah banyak menawarkan
pakej sukan air. Boleh pilih mana-mana yang berkenan mengikut bajet anda.
Sepanjang pantai pun ada ejen sukan air. Pada hari pertama kami memilih pakej
ronda pulau dan snorkeling. Satu
kepala RM15, tapi kalau nak pilih snorkeling sahaja seorang cajnya hanya
RM10. Harga yang sangat berpatutan.
Aktiviti utama...
aktiviti snorkeling
ronda pulau
Keesokan harinya kami bercadang nak
ronda-ronda kawasan pulau. Mereka bertiga, Yan, Kak Nurul dan Rehan memilih
utnuk berbasikal. Aku macam berat hati sebab penat berenang semalam tak habis
lagi, ini nak kena kayuh basikal lagi. Tidak mengapalah, datang berkumpulan
kenalah ikut suara majoriti. Bagi aku yang sejenis tidak tahan lasak ni, baik
sewa motor sahaja dari basikal. Hmmm… memang tak mencabar langsung kan? Sewa
basikal RM20 untuk sehari dan sewa motor RM40.
Ha..ha…. cukup sejam acara mengayuh,
dah mula rasa penat. Almaklumlah, jalan di sana berbukit bukau. Rehan pun sudah
tidak tahan lalu dia mengajak aku untuk tukar ke motor. Sudahnya, kami bedua sepakat
untuk menyewa motor. Manakala Yan dan kak Nurul teruskan dengan berbasikal. Tetapi
sudah masuk waktu petang mereka juga
memilih untuk menyewa motor.
Bila dan bermotor maknanya langkah
pun semakin panjang. Bosan mandi, kami sambung ronda satu pulau dengan baju
basah. Bukan sesuatu yang pelik pun buat macam tu di sana. Pusing punya pusing,
terjumpalah kami dengan lokasi batu bersurat dan Kota Belanda. Tak sangka dekat
pulau pun ada tempat bersejarah. Jadi, kami singgah la bergambar buat
kenang-kenangan.
Puas meronda, kami sambung mandi
lagi. Mandi sampai petang. Yan dan Kak Nurul cuba aktiviti berkayak. Sejam
RM20. Kesian Rehan tak ada kawan nak berkayak, sebabnya aku ni sejenis penakut.
Dalam takut sebenarnya teringin juga nak mencuba. Jadi aku buang rasa takut dan
sempatlah juga merasa berkayak untuk 10 minit. Jadilah, buat pengalaman.
Batu Bersurat
Kota Belanda
Kayak weh....
Kalau kita tengah seronok, masa pun
rasa cepat saja berlalu. Tibalah masa untuk kami pulang. Apapun percutian kali
ini sangat menyeronokkan. Sampai hari ni mood bercuti masih belum hilang lagi. Aku
rasa Kak nurul, Yan & Rehan pun mengalami simptom yang sama dan sebab itu
lah aku abadikan kenangan itu di sini.
Bye-bye Pangkor....
1 comment:
Assalamualaikum akak. Saya mahu tanya tentang otw from kl to lumut. Since dulu akk punya bus arrive di hentian Haji Raja Muda Musa, perjalanan to jetty perlu ambil sebarang transport ke? Atau perlu jalan kaki sahaja utk je jetty? Sebab kalau kl to hentian lumut, jetty mmg dkt depan tu... Kalau bus stop di hentian h.j raja muda musa pula? Mcm mana? Boleh tk akk terangkan serba sedikit. Terima kasih 😊
Post a Comment