Showing posts with label Budaya Dan Warisan. Show all posts
Showing posts with label Budaya Dan Warisan. Show all posts

April 25, 2017

E16 - UNESCO Iktiraf Batu Bersurat Terengganu

Teks : Azni Aziz
Foto : Fariz Faizal



Pengiktirafan Batu Bersurat Terengganu di bawah Memory of the World oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kerana warisan negara kita mendapat pengiktirafan dunia.

Pengiktirafan ini cukup bermakna kepada negara kerana ia termasuk di antara 139 jumlah warisan daripada 76 buah negara yang telah didaftarkan di bawah Memory of the World sehingga tahun 2009.

Ini adalah pengiktirafan keempat yang diterima oleh Malaysia selepas pengiktirafan kepada Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat-surat Sultan Abdul Hamid. Kesemuanya pada 2001.

Batu bersurat yang mempunyai ketinggian 86cm, lebar 53cm di bahagian atas dan 24cm di bahagian bawah ini asalnya telah dijumpai oleh seorang peniaga iaitu Saiyed Husin Ghulam Al Bukhari pada tahun 1902.

Beliau menyedarinya ketika sedang mengambil wuduk di sebuah surau di Kampung Buluh, Kuala Berang Terengganu di mana batu tersebut dijadikan alas kaki. Batu yang seberat 214.8kg ini kemudiannya dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III dengan bantuan penduduk kampung tersebut.

Seterusnya batu itu dipinjamkan kepada Muzium Singapura pada 1923. Selepas Muzium Negara siap dibina , ia di bawa ke sana. Manakala pada 1991, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memulangkan batu bersurat tersebut kembali ke Terengganu dan dipamerkan di Muzium Terengganu.

Tidak mudah Batu Bersurat Terengganu mendapat pengiktirafan daripada UNESCO. Antara aspek yang dinilai sebelum memberi pengiktirafan ialah ia mesti mempunyai keunikan dan kepentingan peringkat dunia, ia satu-satunya warisan yang perlu dibuktikan keasliannya serta memenuhi salah satu kriteria yang dikaitkan sama ada dari segi masa atau zaman, tempat, masyarakat, perkara atau tema, gaya atau tatacara.

Batu Bersurat Terengganu dari segi keasliannya merupakan satu-stunya bentuk yang ada dalam jenisnya di Asia Tenggra dan tiada yang lain lagi. Ia juga menjadi bukti utama sumber rujukan mengenai kedatangan Islam dan ekonomi global di Asia Tenggara.

Dengan keunikan yang tiada bandingan, Batu Bersurat Terengganu dianggap mempunyai kepentingan tambahan terutama dalam konteks pemahaman politik dan sejarah sosial Asia Tenggara, perubahan keagamaan serta tahap ekonomi masyarakatnya.

Hakikatnya, pengiktirafan terhadap Batu Bersurat yang bertarikh 4 rejab 702 hijrah @ 22 Februari 1303 itu telah membuktikan kewujudan tulisan jawi dalam dunia Melayu Muslim di Asia Tenggara. Selain itu diharapkan pengiktirafan ini dapat mewujudkan kesedaran dan kecintaan pada warisan kita.















E 15 - Perayaan Regatta Lepa : Hari Raya Masyarakat Bajau Semporna

Teks : Azni Aziz
Foto : Muhammad Zulfadzli Selamat

Lepa-lepa yang dihias cantik untuk pertandingan


Kita bertuah tinggal di Malaysia. Masyarakat Malaysia yang majmuk memberi peluang kepada kita untuk menghayati keunikan dan keindahan seni budaya pelbagai etnik di negara ini. Sabah, salah satu negeri di Malaysia yang terletak di Utara Pulau Borneo bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semulajadi, tetapi  juga kaya dengan warisan budaya penduduknya.

Suku kaum Bajau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak berabad lamanya. Suku kaum Bajau terbahagi kepada dua, iaitu Bajau Laut dan Bajau Darat. Bagi Bajau Laut, mereka mendiami kawasan pesisir pantai terutama di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Labuan. Manakala Bajau Darat lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat seperti Papar, Tuaran, Kota Belud, Kudat dan Kota Kinabalu.


Masyarakat Bajau Laut di Semporna Sabah terkenal dengan kehebatan mereka sebagai pelaut yang disegani. Bagi mereka, laut bukan sahaja sebagai sumber rezeki tetapi turut memberikan pelbagai inspirasi dan pengaruh tersendiri kepada kehidupan.

Hakikatnya, laut adalah dunia mereka. Buktinya mereka bukan sahaja menetap di tepi laut tetapi juga tinggal 'di atas laut' dengan menjadikan lepa sebagai kediaman rasmi atau rumah mereka. Mereka hidup di atas lepa dan menjalani sebahagian besar hidup di laut dan hanya naik ke darat untuk mendapatkan bekalan air, kayu api dan upacara pengebumian. Bajau Laut memang sinonim dengan lepa.

Lepa dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud perahu atau bot. Biasanya Lepa diperbuat daripada kayu jenis Ubar Suluk ataupun Seraya Merah. Lazimnya, lepa berukuran lapan meter panjang dan dua meter lebar serta menampilkan pelbagai jenis ukiran dan warna.Biasanya sebuah lepa didiami oleh sebuah keluarga yang dianggotai lima hingga enam orang. Setiap lepa yang didiami sesebuah keluarga Bajau menampilkan seni ukiran dan saiz yang berbeza di mana ia menggambarkan status keluarga tersebut. 

Lepa merupakan peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh suku kaum Bajau Semporna. Sejak kurun ke-14, ia merupakan pengangkutan utama untuk membawa muatan pedagang-pedagang tempatan dari Semporna ke Kepulauan Sulu, Borneo, Kalimantan. Catatan sejarah juga menunjukkan lepa telah digunakan oleh para pendakwah untuk menyebarkan agama Islam di rantau Asia Tenggara pada awal kurun ke-15.

Oleh itu, lepa dianggap sebagai satu elemen penting dalam hidup dan telah sebati dengan adat dan tradisi Bajau Laut. Ia juga amat berpengaruh dalam perkembangan seni budaya tempatan. Dalam persembahan kebudayaan, alat-alat muzik tradisional ataupun tagungguh akan dimainkan di atas Lepa. Ia merupakan satu lambang keagungan dan warisan budaya bangsa Bajau Semporna di mana ia masih lagi wujud hingga ke hari ini.

Kini, kebanyakan masyarakat Bajau di kawasan berkenaan telah tinggal di darat. Walau bagaimanapun, budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman ini dipersembahkan dengan meriah dan gemilang dalam Perayaan Regatta Lepa untuk dihayati oleh masyarakat terutamanya generasi hari ini.

Perayaan Regatta Lepa disambut pada bulan April setiap tahun di daerah Semporna, Sabah. Ia menjadi perayaan yang penting dalam kalendar masyarakat Bajau Semporna dan boleh dianggap sebagai ‘hari raya’ mereka. Pada tahun 1994, perayaan Regatta Lepa mula diperkenalkan sebagai perayaan di peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan di peringkat negeri Sabah. Seterusnya pada tahun 2003, Perayaan Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini ia merupakan salah satu acara tahunan di Malaysia.

Setiap tahun pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan lepa yang cantik.Lepa-lepa tersebut diukir dengan motif bertemakan laut seperti ikan, duyung dan kuda laut. Ia juga turut dihiasi dengan corak awan larat dan tulisan khat Hiasan ukiran tersebut merangkumi keseluruhan bahagian lepa beserta tiang selain turut dihiasi dengan layar dan bendera tiga segi kecil. Setiap satu lepa juga akan membawa penari-penari dan ahli muzik yang lengkap dengan pakaian tradisional masyarakat Bajau Laut.

Menjadi tradisi kepada sambutan Regatta Lepa, sebanyak lebih 50 buah perahu akan menyertai Pertandingan Sambulayang atau juga dikenali sebagai pertandingan layar dan perahu tercantik. Usaha menghasilkan sebuah lepa yang cantik boleh memakan masa sehingga empat bulan dan kosnya boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Lepa yang paling cantik dan kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang Lepa Tercantik yang merupakan hadiah utama dalam perayaan ini.

Beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berpasangan, renang dan persembahan kesenian dan kebudayaan turut diadakan untuk memeriahkan lagi perayaan ini. Selain itu, pada perayaan ini turut dipamerkan pelbagai jenis kraftangan masyarakat Bajau seperti aksesori wanita, pakaian tradisional, alat-alat tradisioanl dan lain-lain lagi.

Di sebalik perayaan dan kisah sejarah lepa yang panjang ini sebenarnya terselit mesej kepada masyarakat supaya kuat dari aspek mental dan fizikal umpama sebuah lepa yang kuat serta gah belayar di lautan. Hakikatnya, usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya bangsa perlu digerakkan dengan lebih proaktif selaras dengan perkembangan dunia sekarang yang semakin mencabar agar ianya tidak ditelan zaman.

Persembahan tarian di atas lepa

April 20, 2017

E 13 - Sambutan Hari Moyang

Teks : Azni Aziz
Foto : Muhammad Zulfadly Selamat

patung dewa

Kerja aku telah memberi peluang kepada aku untuk lebih mengenali adat dan budaya kaum-kaum yang ada di Malaysia. Rasa bertuah diberi kesempatan untuk mengetahui keunikan budaya masyarakat majmuk di Negara kita. Jadi rasanya rugi kalau pengetahuan yang sedikit ini tidak dikongsi bersama kawan-kawan.

Mungkin penjelasan aku tidak menyeluruh kerana aku bukanlah ahli dalam bidang ini. Tapi aku harap sedikit sebanyak ia dapat memberi pengetahuan dan rujukan kepada sesiapa yang belum tahu. Dan kepada sesiapa yang sudah tahu atau sememangnya arif tentang perkara ini harap dapat ditegur jika ada kesalahan atau kekurangan.

Hari moyang adalah hari beribadah bagi kaum Orang Asli di Malaysia. Ia disambut pada 16 Mac setiap tahun. Hari moyang ni merupakan satu hari dalam setahun bagi semua Orang Asli memohon doa supaya Negara kita dijauhi daripada malapetaka seperti gempa bumi, tsunami, kemarau dan sebagainya. Pada hari tersebut dan selama tiga hari berturut-turut, kaum-kaum Orang Asli dilarang membunuh apa jua kehidupan atau merosakkan alam semula jadi ciptaan tuhan. Mengikut Kepercayaan mereka, jika pantang larang ini dilanggar, maka akan timbul malapetaka yang akan berlaku.

Bagaimana acara sambutan Hari Moyang ini diadakan? Pada pagi 16 Mac setiap tahun, semua penduduk kampung akan berkumpul di satu kawasan yang dikenali sebagai Sanggar Beribadah di setiap kampung masing-masing dengan mengarak moyang (patung dewa) dan memohon restu dari Tok Pawang. Selepas itu Tok Pawang akan menjalankan upacara pemujaan dan setiap orang kampung akan memohon restu daripada Tok Pawang.

Selepas acara memohon restu, mereka akan ke bangsal khas untuk menikmati jamuan makanan tradisional yang mereka bawa sendiri secara “pot luck”. Bagi upacara yang dihadiri oleh orang kenamaan, satu upacara khas seperti mencuci kaki dan menepung tawar (tabor bertih) akan dilakukan terlebih dahulu sebelum upacara pemujaan dilakukan. Kemudian Tok Pawang akan memberi restu untuk kesejahteraan orang kenamaan tersebut.

Di sini apa yang aku faham “Moyang” itu bermaksud satu “semangat” yang dipercayai oleh kaum Orang Asli yang menjaga keamanan mereka dan bukanlah ibu kepada nenek mereka. 

Menepung tawar orang kenamaan


May 8, 2010

Keranda :Tradisi & Misteri

Hari ni aku berkesempatan ke Muzium Negara. Dapatlah melawat pameran keranda. Terima kasih kepada Muzium Negara kerana menaja breakfast dan lawatan aku hari ni. Terfikir gak macam seram je nak tengok pameran ni, tapi kalau tak masuk rugi la plak. Ntah bila lagi boleh tengok tradisi dan misteri keranda.

Keranda biasanya merujuk kepada tempat menyimpan mayat sebelum dikebumikan mengikut amalan agama dan tradisi sesuatu kaum. Secara berevolusi, kerana adalah medium perjalanan terakhir ke dunia yang berkekalan yang diterjemahkan mengikut cara yang berbeza-beza sejak zaman pra sejarah sehingga kini.

Kat bawah ni beberapa gambar keranda yang sempat saya snap tadi.


Cara pengebumian masyarakat Neolitik


Haa ni lah dia Perak Man


Pengebumian perahu oleh masyarakat pra sejarah lebih 3000 tahun yang lalu. Tradisi masyarakat yang tinggal di Kuala Selinsing, Perak dan Gua Niah, Sarawak



Kubur batu kepingan. Tradisi masyarakat Lembah Bernam, Perak



Yang ni cara pengebumian kaum Bateq. Tanam kat atas pokok.


Ini kereta jenazah. Tapi tak berenjin. Tarik saja ye! Digunakan oleh masyarakat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang sekitar 198o-an.


Yang ni mesti dah biasa tengok kan? Ini keranda masyarakat Melayu



Ini keranda paling mahal. Disalut emas 14 karat lagi. Dengar cerita siap ada air-cond kat dalam.He..he...


Ini plak keranda kayu kaum Kelabit Lungun


Keranda bulu masyarakat India (gambar atas dan bawah)



Ini bukan kerbau yang disumpah menjadi batu. Nama dia Erong Kerbau. Sejenis keranda yang digunakan oleh masyarakat Teroja, Sulawesi Tengah.

Ini keranda baby kot. Lupa nak amik ifo


p/s : Menarik kan? Sesekali kita mengenali warisan budaya masyarakat yang ada di negara kita. Jangan lupa ke Muzium Negara. Pameran ni dah bermula sejak 1 April lalu dan akan berkahir pada 20 Jun nanti. Cepat sebelum terlambat. Yuran masuk RM2 sahaja. KAlau nak amik gambar bayar RM3. Mungkin ini pengalaman sekali seumur hidup kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails